41 bungkusan plastik berisi cecair hijau dipercayai air ketum berjaya dirampas oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Bentong dalam Ops Tapis.

KUANTAN – Polis memberkas seorang lelaki yang disyaki dalang sindiket memproses air ketum dalam serbuan Ops Tapis di Felda Mempaga, Bentong semalam.

Hasil pemeriksaan lanjut pada operasi yang dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong dan anggota Balai Polis Lurah Bilut dalam sebuah rumah menemui satu tong plastik berwarna biru mengandungi 41 bungkusan plastik lutsinar yang berisi cecair kehijauan disyaki air ketum sebanyak 1 liter.

Ketua Polis Daerah Bentong, Supt. Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya turut merampas daun ketum seberat 26.4 kilogram yang terdapat dalam enam bungkus plastik hitam.

Turut dirampas dalam operasi pada jam 7.30 malam itu ialah satu periuk besi, satu tong gas, satu dapur gas, satu besen plastik dan dua sudip kayu dipercayai digunakan untuk memproses air ketum, ujarnya.

“Jumlah rampasan bernilai RM2,000 dan berjaya merampas alatan memproses ketum.

“Hasil siasatan suspek juga disyaki membekalkan air ketum bagi pasaran di sekitar Mempaga dan Bentong,” katanya.

Menurut Zaiham, suspek berusia 31 tahun ditangkap untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun.

Jika disabit kesalahan, suspek boleh dikenakan denda maksimum RM10,000.00 atau penjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya.

Suspek akan direman selama empat hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah. – MalaysiaGazette