Pengusaha premis urut Husaini b Samsudin berdiri di hadapan kedainya ketika tinjauan Lensa Malaysia Gazette di Brickfields, Kuala Lumpur. Foto FIKRI YAZID, 16 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu dan awal tahun ini sebenarnyajejaskan semua pihak dan tidak terkecuali golongan kelainan upaya (OKU) turut menerima tempiasnya.

Ramai kehilangan pekerjaan dan banyak juga syarikat gulung tikar akibat langkah kerajaan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 yang boleh membawa maut itu.

Bagaikan jatuh ditimpa tangga, begitulah nasib yang menimpa pengusaha pusat urut orang buta antara sektor ekonomi terakhir yang dibenar beroperasi semula selepas beberapa zon merah selesai menjalani tempoh PKP.

MalaysiaGazette dimaklumkan hampir 80 peratus pendapatan pengusaha pusat urut orang buta terjejas setiap kali PKP dilaksanakan sama ada sejak 18 Mac tahun lalu mahupun 13 Januari tahun ini.

Perkara itu diakui sendiri oleh seorang pengusaha pusat urut orang buta, Husaini Samsudin, 38, di mana dia sekurang-kurangnya boleh mendapat lima pelanggan sehari sebelum PKP sebaliknya PKP, perniagaannya itu hanya mendapat tiga pelanggan sehari sahaja dan kadang kala tiada langsung pelanggan.

“Sejak PKP 2.0, premis diarahkan tutup bermula 13 Januari dan hanya 5 Mac 2021 baru kami dibenarkan beroperasi semula. Kami di sini memang mengharapkan pelancong-pelancong dari luar sebab di sini adalah tempat tumpuan pelancong.

“Kebanyakan pelancong dari Korea, Jepun dan negara-negara Eropah yang menginap di sekitar premis ini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di premisnya di Harmony Health Blind Massage, Brickfields hari ini.

Pengusaha premis urut Husaini b Samsudin, di Brickfields, Kuala Lumpur. Foto FIKRI YAZID,16 MAC 2021.

Husnaini yang mesra dengan panggilan Hus merupakan OKU separa penglihatan dan mula mengusahakan pusat urut orang buta bersama seorang rakan kongsi sejak Ogos tahun lalu.

Sepanjang tempoh PKP awal tahun ini, Husnaini hanya bergantung kepada wang simpanan semata-mata untuk menampung kos sara hidupnya yang kini sedang menanti kehadiran cahaya mata tidak lama lagi.

“Golongan OKU penglihatan macam saya memang tiada kerja lain dilakukan, untuk menampung kehidupan melainkan sebagai tukang urut.

“Malah golongan kami, rata-ratanya tiada pendapatan sampingan melainkan bekerja sebagai tukang urut atau menjual tisu,”

Husnaini tidak menafikan sejak sekian lama PKP dilaksanakan sejak tahun lalu, pihaknya berdepan dengan cabaran lain pula itu wujud stigma kononnya Covid-19 mudah berjangkit daripada aktiviti urutan kerana ada sentuhan fizikal.

Sebaliknya pihaknya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara termasuk mengimbas suhu dan mengambil rekod pelanggan.

“Sebelum buka dan selepas tutup kedai, kita akan melakukan aktiviti nyah-kuman dengan semburan disinfeksi dan sentiasa menggunakan cecair pembasmi kuman sebelum sesi urutan.

“Malah selepas berkerja pun, kami akan mandi terlebih dahulu sebelum pulang ke rumah nak pastikan ahli keluarga tidak dijangkiti virus ini,” katanya.

Husnaini juga tidak menafikan wujudnya kebimbangan untuk menerima pelanggan apabila premis dibenar beroperasi semula.

“Kebimbangan itu tetap ada, kita tak nampak siapa yang dijangkitinya, dan siapa yang bebas virus ini. Kita golongan OKU amat terdedah kepada pelanggan sebegini. Kita pun tak boleh kesan virus ini.

“Sepanjang premis ini dibuka kembali, tiada kes positif di sini, kalau ada pelanggan yang mempunyai simptom seperti selesema atau batuk, memang tidak dibenarkan masuk,” katanya.

Bagaimanapun dia turut menarik nafas lega apabila kerajaan membenarkan pusat urut orang buta beroperasi semula pada 5 Mac lalu.

“Kami amat bersyukur dan berasa lega pusat urut boleh dibuka kembali dan kita mengharapkan pelanggan kembali semula untuk mendapatkan perkhidmatan kami,” katanya.

Dia turut mengharapkan dengan adanya vaksin Covid-19 dan lebih ramai akan mendapat suntikan imunisasi itu, industri yang menyokong perniagaan golongan OKU kembali pulih.

“Program vaksinisasi ini diharapkan boleh menghilangkan kebimbangan rakyat untuk datang ke premis urut untuk mendapatkan perkhidmatan kami,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast