Enam daerah di Selangor dikenakan PKP mulai Khamis ini.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memperketatkan sekatan jalan raya (SJR) pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad untuk mengelakkan pergerakan rentas negeri dalam kalangan orang ramai sebagai usaha memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, ini berikutan PDRM mendapati setiap petang Jumaat hingga Ahad ramai orang mula melakukan perjalanan rentas negeri dengan pelbagai alasan, terutama untuk keluar dari Selangor dan Lembah Klang.

“Hanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tertentu sahaja membenarkan (rentas negeri) dengan permit atas alasan seperti suami isteri yang berjauhan, hantar anak balik asrama dan sebagainya tetapi kita tengok setiap Jumaat trafik meningkat takkan kecemasan hanya berlaku pada hari Jumaat?

“Oleh itu, saya ambil langkah untuk memperketatkan SJR kerana Selangor masih diisytiharkan sebagai negeri di bawah PKP Bersyarat dan akan melonggarkan SJR sekiranya Selangor bertukar status kepada PKP Pemulihan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata sekatan jalan raya di Selangor hanya dilonggarkan untuk jalan-jalan di dalam bandar sahaja.

“Saya amat memahami kesusahan yang mereka (rakyat) alami dan saya amat bersimpati tetapi mereka perlu ambil pedoman bahawa apa yang polis lakukan adalah untuk kebaikan mereka.

“Kepada mereka yang curi-curi keluar menggunakan alasan remeh walaupun dibenarkan atas budi bicara polis, usahlah buat pergerakan…hari demi hari pihak Kementerian Kesihatan (KKM) beri amaran bahawa kluster ‘interstate’ (rentas negeri) di Kelantan dan Johor yang dari Selangor,” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast