Tengku Zafrul Abdul Aziz

PUTRAJAYA – Jumlah hutang negara masih lagi berada di bawah had statutori hutang langsung kerana masih belum melepasi kadar siling 60 peratus seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, biarpun mengambil kira suntikan tambahan fiskal RM11 bilion seperti yang diumumkan Perdana Menteri semalam, tetapi berdasarkan unjuran kementerian kadar hutang masih belum melepasi hadnya.

“Buat masa ini kadar hutang kepada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) pada bulan Februari ialah 54 peratus dan unjuran pada hujung tahun ini ialah 58.5 peratus.

“Ini masih lagi di bawah had akta yang disebut tadi, yang kita telah naikkan dari 55 peratus ke 60 peratus.

“Sekarang, what is the percentage…the debt to GPD? It is 54 percent,” katanya pada sidang media khas di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkara yang dibangkitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sama ada kadar hutang negara telah melepasi paras yang ditetapkan atau tidak.

Terdahulu, Ahli Parlimen Pekan menegur kerajaan Perikatan Nasional (PN) apabila mendakwa telah menyalahi undang-undang kerana melanggar had statutori hutang langsung yang dinaikkan sendiri dan tersalah membuat unjuran fiskal.

Menerusi hantaran di Facebook, Najib berkata, pada bulan Ogos tahun lepas, kerajaan PN telah meluluskan kenaikan had hutang negara kepada KDNK dari 55 peratus ke 60 peratus di Parlimen selepas mengakui bahawa nisbah hutang negara kepada KDNK sudah naik ke 62.2 pada akhir tahun 2020.

Bagaimanapun katanya, pada masa yang sama kerajaan memberitahu bahawa nisbah 62.2 peratus tidak menyalahi had 60 peratus yang ditetapkan. – MalaysiaGazette