Antara pemilik gerai yang membersihkan sekitar kedai yang hangus terbakar ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pasar Dato' Keramat, Kuala Lumpur. Foto SHAFIY ZUL, 18 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Golongan peniaga gerai makanan di Pasar Datuk Keramat yang terlibat dengan kebakaran semalam berharap premis mereka dapat kembali dibuka secepat mungkin.

Ini kerana gerai makan yang beroperasi hampir 40 tahun lalu merupakan punca pendapatan harian kepada mereka selama ini.

Pemilik gerai makanan popular, Ikan Bakar Usop Keramat, Abd Raif Abdul aziz berkata, sekiranya lambat dibuka, dia akan berdepan masalah untuk membayar gaji tujuh kakitangannya.

“Saya difahamkan gerai kami dijangka dibuka lagi dua bulan. Jadi saya kena rancang untuk menyewa mana-mana gerai buat sementara waktu agar kami dapat kembali beroperasi secepat mungkin.

“Anggaran kerugian yang ditanggung saya akibat kebakaran semalam sebanyak RM50,000 dan saya baru sahaja siap buat kerja-kerja pendawaian pagi semalam juga dengan kos RM3,000 lebih,“ katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.

Pemilik ikan bakar usop keramat, Abdul Raif Abdul Aziz, 35, bercakap kepada media mengenai peristiwa kebakaran kedai ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pasar Dato’ Keramat, Kuala Lumpur. Foto SHAFIY ZUL, 18 MAC 2021.

Semalam, orang ramai dan peniaga sekitar Pasar Datuk Keramat gempar apabila pasar itu tiba-tiba terbakar dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang yang memusnahkan lebih 40 gerai.

Namun tiada kehilangan nyawa atau kecederaan dilaporkan.

Difahamkan, majoriti peniaga di kawasan Pasar Datuk Keramat adalah dalam kalangan bumiputera yang menjual barang basah, makanan, pakaian dan perkakas rumah.

Kejadian itu turut tular dalam media sosial apabila rakaman video menunjukkan orang ramai berusaha memadam kebakaran besar yang memusnahkan deretan gerai beratap zink itu.

Mengulas lanjut, Abd. Raif berkata, dia terharu dengan lawatan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa yang hadir pada malam tadi.

Jelas beliau, Annuar turut memberi jaminan untuk membantu mereka dengan membangun semula gerai makanan yang terlibat di pasar tersebut.

“Kami juga menerima bantuan wang daripada Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Rina Mohd. Harun,” katanya yang mendapat pendapatan kasar harian sebanyak RM3,000, termasuk tempahan syarikat e-hailing.

Pemilik ikan bakar usop keramat, Abdul Raif Abdul Aziz, 35, melihat keadaan kedainya yang hangus terbakar ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pasar Dato’ Keramat, Kuala Lumpur. Foto SHAFIY ZUL, 18 MAC 2021.

Sementara itu, peniaga gerai Yus Nasi Lemak Datuk Keramat, Nooramira Roslan berkata, dia seboleh-bolehnya mahu gerai itu dibangunkan semula di situ dan peniaga tidak dipindahkan di lokasi baharu.

Ini kerana katanya, gerai makanan di Pasar Datuk Keramat mempunyai keunikan dan nilai sentimental buat peniaga di situ.

Jelas wanita berusia 30 tahun itu, gerai milik keluarganya sudah beroperasi sejak 40 tahun lalu sebelum bapanya, Roslan Mohd. Ghani berumah tangga lagi.

“Ketika kejadian semalam, saya sangat terkejut bila dapat panggilan daripada kumpulan flat (Whatsapp).

“Saya tidak ada apa hendak cakap, rasa kosong dan air mata sahaja yang ada,” luahnya jujur. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Harap pakat² sabaq sat naa…. In Sha Allah , kerajaan yg prihatin rakyat akan membantu secepat mungkin..

Comments are closed.