KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju membenarkan penonton masuk ke stadium menyaksikan perlawanan bola sepak Liga Malaysia dengan penetapan SOP yang ketat.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebagai percubaan kepada pematuhan SOP itu, dua perlawanan akan dilangsungkan di stadium pada 1 April ini dengan kemasukan penonton.
Katanya, bagi negeri bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), penonton dibenarkan masuk ke stadium sekitar 2,000 sahaja, manakala negeri bawah PKP Pemulihan (PKPP) seramai 8,000 orang.
“Dalam mesyuarat Selasa lalu, kita mendengar pembentangan dari Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang mohon dibenarkan kemasukan penonton ke stadium beserta dengan SOPnya.
“Setelah mendengar dan mendapat persetujuan Kementerian Kesihatan (KKM), kerajaan bersetuju membenarkan kehadiran 10 peratus penonton ke stadium dengan SOP seperti kawasan PKPB 2,000 orang dan kawasan PKPP 25 peratus melibatkan 8,000 orang.
“SOP ini dengan penyeliaan dan pengawalan sepanjang masa, seperti ketika penonton masuk dan keluar dari stadium,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Menurut Ismail Sabri, KBS, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM akan turut memantau dan menilai protokol aspek kemasukan serta penyuraian penonton ketika perlawanan.
Bagi kaedah jualan tiket pula, katanya, akan dilakukan secara dalam talian, manakala penjarakan fizikal antara penonton dari 1.5 meter hingga 2 meter.
“Begitu juga operasi jualan. Kita hanya membenarkan kedai sedia ada di stadium itu sahaja berniaga, manakala peniaga baharu atau gerai tambahan tidak dibenarkan sama sekali,” ujarnya. – MalaysiaGazette