John Magufuli. foto Agensi
DODOMA – Presiden Tanzania, John Magufuli meninggal dunia, selepas khabar angin mendakwa beliau dijangkiti Covid-19.
John berusia 61 tahun, meninggal dunia di hospital di Dar es Salaam disebabkan komplikasi jantung, kata Naib Presidennya, Samia Suluhu Hassan yang mengumumkan berita tersebut.
John tidak muncul di khalayak sejak 27 Februari lalu hingga mendorong pelbagai spekulasi mengenai kesihatannya.
Bagaimanapun, perdana menterinya, Kassim Majaliwa menegaskan John dalam keadaan ‘sihat dan bekerja keras’.
Kassim mendakwa desas-desus mengenai kesihatan presiden itu dicetuskan oleh warganegara Tanzania  yang tinggal di luar negara.
Tetapi pemimpin pembangkang, Tundu Lissu memberitahu BBC Magufuli sedang dirawat di hospital kerana menghidap virus koronavirus di Kenya.
Ahli politik pembangkang mendakwa John dijangkiti Covid-19 tetapi tiada pihak yang mengesahkannya.
Magufuli adalah pemimpin yang skeptikal terhadap koronavirus paling terkenal di Afrika.
Beliau telah meminta rakyatnya supaya berdoa dan menggunakan terapi wap  untuk mengatasi virus tersebut. – MalaysiaGazette