KUALA LUMPUR – Rapid KL di Lembah Klang memperkenalkan dua laluan bas perantara baharu ke stesen-stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Sri Petaling dan Bandar Puteri Puchong mulai hari ini.
Ini merupakan hasil kerjasama di antara Rapid Rail, operator perkhidmatan, LRT, Transit Aliran Massa (MRT), Monorel, Rapid Bus serta pengendali perkhidmatan bas perantara Rapid KL.
Laluan baharu bas perantara (T582) ke Stesen LRT Sri Petaling merangkumi kawasan utama Bandar Baru Sri Petaling, Taman Bukit Intan dan Stadium Hoki Bukit Jalil.
Manakala laluan baharu bas perantara (T605) ke Stesen LRT Bandar Puteri Puchong pula merangkumi jajaran kawasan Bandar Puteri Puchong, Puchong Hartamas, Kampung Pasir Puchong dan Puteri 11.
Dengan kekerapan bas setiap 20 minit pada waktu puncak dan bergantung kepada keadaan trafik semasa, pengguna kini dapat merancang perjalanan yang lebih mudah ke destinasi yang dituju.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Muhammad Yazurin Sallij Muhammad Yasin berkata, penduduk di sekitar kawasan Sri Petaling dan Bandar Puteri mempunyai pilihan penjimatan dari segi kos bahan api kenderaan, tol serta bayaran parkir.
“Mereka boleh menggunakan perkhidmatan bas perantara baharu yang melalui kawasan-kawasan perumahan utama dengan tambang hanya serendah RM1.
“Kami berharap perkhidmatan laluan baharu bas perantara ini dapat mempermudahkan perjalanan komuniti setempat dan secara tidak langsung dapat memberikan penjimataan bagi menghubungkan mereka ke rangkaian rel Rapid KL untuk ke destinasi yang ingin dituju,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagi merancang perjalanan dan keselesaan pengguna perkhidmatan rangkaian rel dan bas Rapid KL, para pengguna digalakkan untuk memuat turun aplikasi Planning Your Lifestyle Efficiently (PULSE).
Selain itu, aplikasi PULSE juga turut menyediakan maklumat tentang status perkhidmatan setiap mod perkhidmatan Prasarana dan jangkaan masa ketibaan (ETA).
Ia juga akan memberikan waktu sebenar untuk lokasi-lokasi bas dan juga tren. -MalaysiaGazette