Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bercakap pada sidang media Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Panel Of Experts Kementerian Belia dan Sukan di Hotel Le Meridien, Putrajaya . Foto HAFIZ SOHAIMI, 19 MAC 2021.

PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan tidak menggalakkan warga emas berusia 60 tahun ke atas dan kanak-kanak hadir menonton perlawanan bola sepak di stadium selepas kehadiran penonton dibenarkan kerajaan bermula awal bulan depan.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, ini kerana dua golongan itu berisiko tinggi terdedah kepada penularan wabak Covid-19.

Selain itu jelas beliau, pihaknya akan memperhalusi banyak perkara dalam usaha mengetatkan Prosedur Standard Operasi (SOP) ke atas penonton termasuk penjualan tiket atas talian dan aktiviti perniagaaan di luar stadium.

“Kita akan perhalusi macam-macam benda seperti penjualan tiket kena buat online (atas talian) untuk jualan, makanan juga kita tak nak ada foodtruck datang dan mesti ada SOP yang perlu dipatuhi termasuk soal dalam kalangan penonton kanak-kanak.

“Kanak-kanak tak digalakkan sebab tiada undang-undang yang boleh menghalang mereka untuk pergi dan demikian juga untuk mereka yang berusia 60 tahun ke atas kerana ini kumpulan dianggap kumpulan mudah dan terdedah (Covid-19). Saya akan ambil langkah yang amat berhati hati,” katanya.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bercakap pada sidang media Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Panel Of Experts Kementerian Belia dan Sukan di Hotel Le Meridien, Putrajaya . Foto HAFIZ SOHAIMI, 19 MAC 2021.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan surat pelantikan Panel of Experts di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas sama ada golongan kanak-kanak akan dibenarkan hadir ke stadium untuk menonton perlawanan saingan Liga Malaysia (Liga M) bermula 1 April ini.

Semalam, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran itu itu meliputi kehadiran penonton ke stadium bagi semua kejohanan sukan dengan beberapa syarat.

Beliau berkata, bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), hanya 10 peratus kapasiti penonton atau 2,000 orang dibenarkan, dan untuk kawasan PKP Pemulihan (PKPP), 25 peratus kapasiti penonton atau 8,000 orang dibenarkan.

Sementara itu, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memberitahu dua perlawanan Liga Super keenam iaitu pertemuan Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Melaka United FC pada 2 April ini dan Kuala Lumpur City FC bertemu Sabah FC pada 3 April ini bakal dijadikan projek perintis bagi kemasukan penonton pada perlawanan Liga Malaysia musim ini. – MalaysiaGazette