KUALA LUMPUR – Malaysia mendesak pembebasan segera tanpa syarat kepada pemimpin politik Myanmar termasuk Aung San Suu Kyi dan U Win Myint yang ditahan sejak rampasan kuasa tentera di negara itu.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga mengutuk tindakan pasukan tentera yang menggunakan peluru hidup ke atas penunjuk perasaan secara aman di negara berkenaan.
“Penggunaan peluru hidup terhadap penunjuk perasaan secara aman di Myanmar tidak boleh diterima. Ia menyedihkan dan mesti dihentikan segera.
“Bagi pihak rakyat Malaysia, saya menyampaikan takziah kepada semua rakyat Myanmar yang kehilangan orang tersayang dan menjadi mangsa akibat krisis politik,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas situasi tragis yang berlaku di negara itu sejak berlaku rampasan kuasa tentera pada 1 Februari lalu.
Justeru Muhyiddin menggesa kepimpinan di negara berkenaan mengubah haluan dan mengambil pendekatan secara aman buan keganasan sebagai cara terbaik mendepani masalah yang berlaku.
“Kita di Malaysia dan komuniti ASEAN yang lebih besar, tidak mampu melihatnya negara saudara di Myanmar menjadi sangat tidak stabil di tangan beberapa orang yang mahu mempromosikan kepentingan mereka sendiri.
“Sekali lagi, Malaysia mengulangi seruan kami untuk semua pihak yang berkenaan untuk bekerjasama ke arah penyelesaian krisis ini secara aman.
“Kami akan terus menyokong dialog inklusif untuk peralihan politik dan mendesak semua pihak untuk kembali ke meja rundingan, menyelesaikan krisis dan mengelak sebarang ketegangan,” katanya.
Apa yang berlaku, menurut Muhyiddin juga bertentangan dengan prinsip yang termaktub dalam Piagam ASEAN yang komitmennya mempromosi dan melindungi keamanan.
“Saya sangat menyokong kenyataan Presiden Joko Widodo dari Republik Indonesia hari ini dan seruannya untuk mengadakan sidang kemuncak ASEAN untuk menangani keadaan di Myanmar,” katanya. – MalaysiaGazette