Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengakui kesilapannya tidak mendaftar semasa makan di sebuah restoran di sini hari ini.-Gambar FB Najib.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengakui kesilapannya tidak mendaftar semasa makan di sebuah restoran di sini hari ini.

Justeru beliau mahu pihak berkuasa mengeluarkan kompaun terhadap kesalahan yang dilakukannya.

“Seperkara lagi ialah mengenai check-in. Aturan dibuat dan saya dibawa masuk ke kedai terus setibanya di sana.

“Saya mengaku kesilapan saya pada kali ini tidak membuat check-in sendiri walaupun pegawai-pegawai saya telah berbuat demikian,” katanya dalam Facebook hari ini.

Menurut Najib, kebiasaan beliau mematuhi segala SOP yang telah dikuatkuasakan dalam aktiviti atau pergerakannya.

“Tidak mengapa. Saya minta pihak berkuasa keluarkan saman terhadap saya atas kesilapan tidak sengaja ini,” ujarnya.

Menurut Najib beliau menerima baik kritikan dan pandangan yang diterima daripada video rakamannyanya menjamu selera di Kedai Nasi Ayam Chee Meng.

Kedai berkenaan popular di ibu kota dan ramai yang beragama Islam makan di premis berkenaan, katanya.

“Kompaun untuk tidak scan MySejahtera diumum sebagai RM1,500 dua hari lalu oleh Menteri PN (Perikatan Nasional). Saya bayar sebelum tempoh tujuh hari untuk dapat early bird diskaun 50 peratus iaitu denda RM750.

“Saya akan membayar saman atas kesilapan saya ini secara sukarela. Tidak ada double standard dalam istilah saya.

“Orang lain, parti lain, menteri-menteri saya tak tahulah. Mereka ada dua darjat itu hal mereka. Saya tidak mahu ada dua darjat bagi kes saya,” sindirnya.

Dalam pada itu, Najib sempat menyatakan mengenai pengawal pengiringnya.

“Oh ye. Seperkara lagi, saya ditanya mengenai pengawal pengiring saya. Ya. Pemberian semula ini adalah mengikut ketetapan sebagaimana yang disediakan untuk bekas Perdana Menteri dan diberi balik kerajaan PN beberapa bulan dahulu.

“Tidak lebih, tidak kurang, tiada layanan istimewa. Tanya PM7/PM7i. Dia pun dapat,” katanya.- MalaysiaGazette