Bangunan Bursa Malaysia di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR –  Bursa Malaysia dijangka diniagakan secara berhati-hati minggu depan dengan pelabur terus memantau prestasi hasil bon AS serta keputusan mesyuarat People’s Bank Of China (PBoC).

Ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim percaya para pelabur akan terus mengawasi pergerakan hasil bon selepas nota penanda aras 10 tahun AS itu meningkat setinggi 11 mata asas kepada 1.75 peratus pada hari Khamis, paras tertinggi sejak Januari 2020.

Hasil bon AS itu juga terus mengurangkan kehendak pelabur terhadap ekuiti serantau.

“PBoC akan mengadakan pertemuan minggu depan dan yang pastinya para pelabur akan memberi perhatian secara teliti sama ada bank pusat itu akan melaksanakan dasar monetari yang lebih ketat seiring dengan peningkatan ekonomi,” katanya kepada Bernama.

Mesyuarat Bank of Thailand dan Bank Pusat Filipina juga akan berlangsung minggu depan.

Di samping itu, Adam berkata Malaysia kini berhadapan ketegangan geopolitik yang mana Korea Utara telah memutuskan hubungan diplomatik dengan negara ini. Ia adalah tindak balas terhadap tindakan Malaysia mengekstradisi seorang rakyat Korea Utara ke Amerika Syarikat (AS) untuk menghadapi tuduhan pengubahan wang haram.

Sementara itu, seorang penganalisis berkata perkembangan terkini AS-China, yang mana kedua-dua negara mengadakan pertemuan di Alaska pada Khamis mungkin boleh mempengaruhi sentimen.

Dalam pada itu, sepanjang tempoh urus niaga minggu ini, pasaran saham tempatan kebanyakannya bergerak tinggi di tengah-tengah harapan pemulihan ekonomi yang kian meningkat sebelum mengakhiri minggu urus niaga dalam kerugian berikutan tekanan jualan.

Ini berikutan pengumuman pakej rangsangan tambahan Program Strategi Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) bernilai RM20 bilion, ditambah pula dengan ikrar Rizab Persekutuan AS untuk mengekalkan kadar faedah pada tahap hampir sifar.

Persekutuan AS turut mengunjurkan pertumbuhan ekonomi 6.5 peratus untuk AS yang juga merupakan rakan dagangan utama Malaysia, tatkala krisis COVID-19 semakin mereda.

Secara keseluruhan, julat dagangan indeks FBM KLCI dijangka berada dalam lingkungan 1,605 hingga 1,625.

Berdasarkan kepada perbandingan mingguan (Jumaat-Jumaat), penanda aras FBM KLCI meningkat 10.50 mata kepada 1,626.19 daripada 1,615.69 minggu lepas.

Di papan skor, Indeks FBM Emas mengukuh 61.08 mata kepada 11,923.21, Indeks FBMT 100 naik 62.71 mata pada 11,601.58 dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 93.89 mata kepada 13,229.89.

Indeks FBM 70 pula melonjak 113.22 mata kepada 15,765.22 dan Indeks FBM ACE meningkat 24.15 mata kepada 10,689.34.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian mengembang 1.03 mata kepada 193.13, Indeks Perladangan naik 38.83 mata kepada 7,175.62, Indeks Teknologi meningkat 0.24 mata pada 84.00 dan Indeks Penjagaan Kesihatan naik 54.57 mata kepada 3,047.65.

Bagaimanapun, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 40.21 mata kepada 15,509.65 dan Indeks Tenaga merosot 41.69 mata kepada 960.60.

Indeks Perladangan menokok 38.83 mata kepada 7,175.62, Indeks Teknologi meningkat 0.24 mata pada 84 dan Indeks Penjagaan Kesihatan naik 54.57 mata kepada 3,047.65.

Jumlah dagangan melonjak kepada 53.03 bilion unit bernilai RM26.24 bilion daripada 48.11 bilion unit bernilai RM30.34 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama menyusut sedikit kepada 34.85 bilion saham bernilai RM21.24 bilion berbanding 34.91 bilion saham bernilai RM26.72 bilion minggu lepas.

Jumlah waran turut susut kepada 1.70 bilion unit bernilai RM294.43 juta berbanding 2.50 bilion unit bernilai RM423.31 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE melambung menjadi 16.48 bilion saham bernilai RM4.70 bilion daripada 9.92 bilion saham bernilai RM2.83 bilion minggu sebelumnya. – MalaysiaGazette