COPENHAGEN – Gunung berapi berhampiran ibu negara Reykjavik meletus selepas ribuan gempa kecil berlaku di kawasan itu sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Pejabat Meteorologi Iceland (IMO) berkata, letusan berlaku berhampiran Fagradalsfjall, sebuah gunung di Semenanjung Reykjanes, yang terletak sekitar 30 kilometer ke arah barat daya ibu negara.
Lebih dari 40,000 gempa bumi berlaku di semenanjung itu dalam empat minggu kebelakangan ini, lonjakan besar dari 1,000-3,000 gempa bumi yang dicatatkan setiap tahun sejak 2014.
Letusan itu tidak menimbulkan bahaya kepada penduduk Grindavik atau infrastruktur kritikal, kata IMO.
Tidak seperti letusan gunung berapi Eyjafjallajökull pada tahun 2010, yang menghentikan sekitar 900,000 penerbangan dan memaksa beratus-ratus orang Iceland dari kediaman mereka.
Bagaimanapun, letusan kali ini dijangka tidak menumpahkan banyak abu atau asap ke atmosfera, kata IMO.
Terletak di antara plat tektonik Eurasia dan Amerika Utara, antara yang terbesar di planet ini, Iceland adalah kawasan panas seismik dan gunung berapi ketika kedua-dua plat bergerak ke arah yang bertentangan.
Punca letusannya adalah badan besar batu cair, yang dikenal sebagai magma, telah mendorongnya ke permukaan selama beberapa minggu terakhir, mencetus gempa. – MalaysiaGazette