Pelajar-pelajar baru berikrar aku janji pada Majlis Perasmian Minggu Haluan Siswa & Upacara lafaz Ikrar Aku Janji Pelajar Baharu Universiti Malaysa 2019/2020 di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 04 SEPTEMBR 2019

IDEALISME merupakan sebuah cita-cita yang lahir daripada pemikiran seseorang hasil daripada akal yang ligat berfikir tentang sesuatu perkara. Secara mudahnya, idealisme adalah idea seseorang tentang sesuatu perkara. Kalau disebut tentang zaman mahasiswa, itu adalah zaman yang mana darah muda masih membara. Salah seorang pensyarah saya pernah
mengatakan bahawa zaman mahasiswa adalah zaman yang tidak akan dirasai kenikmatan waktu muda itu jika tanpa penuh dengan idea. Ini kerana dengan idealisme itu sendiri, ia merupakan kayu ukur awal kematangan bagi seseorang mahasiswa.

Mengapa saya katakan kayu ukur awal? Kerana terdapat juga idealisme mahasiswa yang bersifat idealistik semata-mata namun tidak realistik. Maka ia bukan satu ukuran kematangan
pemikiran mahasiswa secara menyeluruh namun kita tidak boleh menafikan akan sisi baik bagi idea mereka ini. Sekurangnya mereka ini menyatakan sebuah idea yang berusaha menyelesaikan sesuatu masalah berbanding mereka yang hanya tahu mengkritik semata mata namun tidak mendatangkan idea solusi bagi masalah tersebut.

Bagaimana seorang mahasiswa mahu melahirkan sebuah idealisme yang matang? Idealisme yang bersifat idealistik dan realistik? Ia perlukan kepada fundamental atau asas kepada idea itu sendiri iaitu ilmu, maklumat atau informasi tentang sesuatu perkara. Bagaimana mungkin seseorang itu boleh menyatakan ideanya tanpa mengetahui dan mengenali secara asas akan
sesuatu perkara yang sedang dibincangkannya? Jika seseorang mahu memberikan idea bagaimana mahu tangani isu anti-vaksin Covid-19, dia perlu tahu apakah asas berlakunya isu
tersebut? Adakah wujudnya golongan anti-vaksin? Mengapa wujudnya golongan anti-vaksin?

Apakah kesan besar kepada masyarakat dalam menerima vaksin? Mungkin dengan mengeluarkan persoalan-persoalan begini, sedikit sebanyak dapat membantu seseorang itu berfikir dengan baik dan betul yang akhirnya menatijahkan sebuah idealisme yang matang bagi memberikan solusi kepada sesuatu masalah yang timbul.

Kesempurnaan kepada sebuah idealisme yang matang adalah pengalaman. Mahasiswa perlu timba pengalaman yang banyak melalui jalan aktivisme. Tanpa jalan aktivisme maka kita khuatir
idealisme mahasiswa yang terbit itu tidak dapat menjadikan ia sebuah idea  bersifat secara komprehensif. Tetapi ia bukanlah asas kepada sebuah idea namun ia adalah penyempurnaan sahaja. Tidak semestinya jalan untuk menyelesaikan sesuatu masalah, mahasiswa perlu alami perkara itu dahulu atas justifikasi mahu menimba pengalaman.

Mahasiswa tidak semestinya perlu menjadi barisan pimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) jika mahu mengkritik dan memberi idea kepada MPP. Jika begitu, kita tidaklah boleh mengkritik sebuah kerajaan yang kita rasakan tidak begitu kompeten dalam memerintah negara melainkan kita sendiri perlu
menjadi salah seorang pimpinan kerajaan terlebih dahulu. Jika begitu, sampai bila?

Begitulah berharganya sebuah idealisme yang digagaskan oleh mahasiswa pada zamannya. Ia perlu ditunjangi oleh ilmu, maklumat dan informasi supaya idea yang lahir bukanlah idea yang semberono semata-mata. Namun, harga sebuah idealisme mahasiswa tidak akan cantik jika hanya semata-mata lahir dari jiwa dan darah muda melainkan ia juga diimbangi dengan
pengalaman daripada orang-orang yang lebih berumur. Pepatah arab pernah mengatakan, ‘Hikmatu syuyukh, hammasatu syabab’. Hikmah orang tua, semangat orang muda.

Muhamad Hannan Mohd Haniff,
Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar USIM

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast