Dr Xavier Jayakumar PKR Parti Bangsa Malaysia
Dr Xavier Jayakumar

SAMA ada suka atau tidak, kita harus menerima hakikat bahawa pasca Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, politik Malaysia telah berubah dari penggal-penggal yang sebelumnya. Norma baharu yang berlaku dalam politik Malaysia ialah tiada lagi parti
tunggal yang paling berkuasa dan sangat berpengaruh yang boleh berdiri sendiri untuk membentuk kerajaan secara bersendirian. Atas kertas, gabungan parti dalam Barisan Nasional (BN) bolehlah dianggap satu-satunyanya gabungan yang paling berkuasa
yang mampu mentadbir Malaysia sejak Merdeka, hinggakan dalam beberapa penggal penguasaan kerusi gabungan ini melebihi 2/3 kerusi parlimen. Namun, hegemoni penguasaan gabungan ini telah berkahir selepas PRU-14.

Pasca PRU-14, pembentukan kerajaan oleh gabungan Pakatan Harapan (PH) hanya bertahan 22 bulan sebelum ditumbangkan oleh gabungan Perikatan Nasional (PN). PN wujud sebagai koalisi baru hasil penjajaran baru melalui penggabungan antara parti-
parti politik termasuk di antara parti-parti politik yang saling bertembung semasa PRU-14. Selain itu, pembentukan PN turut disumbangkan oleh penyertaan sejumlah ahli parlimen yang keluar dari gabungan PH.

Memandangkan PN masih belum wujud semasa kempen PRU-14, maka bolehlah disimpulkan bahawa pembentukannya adalah di atas dasar kompromi ahli-ahli parlimen yang terlibat dengan Langkah Sheraton dan ia tidak semestinya mencerminkan aspirasi pengundi-pengundi yang memeilih ahli-ahli parlimen tersebut pada PRU lalu. Justeru, bagi menilai samada pembentukan Kerajaan PN mencerminkan hasrat pengundi atau sebaliknya, maka PRU-15 nanti adalah medan terbaik yang boleh menjadi kayu ukur kerana semasa PRU-15 pengundi sudah maklum tentang kewujudan PN dan kaedah pemerintahannya.

Mengambilkira situasi politik semasa, termasuk dengan wujudnya pelbagai parti serta keputusan BN untuk tidak bekerjasama dengan PN dalam PRU akan datang, kemungkinan berlakunya sekurang-kurangnya pertembungan tiga penjuru antara gabungan utama parti politik Malaysia adalah suatu yang hampir pasti menjadi kenyataan. Melihat situasi ini, maka terdapat kebarangkalian untuk berlaku lagi perbezaan kerusi majoriti yang kecil dan tipis di antara gabungan yang menjadi pemerintah dan yang menjadi pembangkang. Keadaan yang rapuh dengan penguasaan majoriti kerusi yang tipis ini akan terdedah kepada insiden pindah kem atau lompat parti hasil proses tawar-menawar yang boleh mengakibatkan perubahan tampuk pemerintahan.

Perubahan ini mungkin boleh berlaku dalam tempoh mandat atau
penggal semasa yang mungkin tidak selari dengan hasrat pengundi yang mengundi ahli-ahli parlimen tersebut semasa PRU sebelumnya. Melihat kepada ‘precedent’ atau duluan yang berlaku melalui Langkah Sheraton pada penghujung Februari 2020, tidak keterlaluan untuk dikatakan insiden sama boleh berulang-ulang pada penggal-penggal pemerintahan akan datang jika tiada majoriti yang solid diperolehi oleh kerajaan semasa.

Tambahan pula lompat parti tidak menjadi kesalahan dalam Undang-undang2 Malaysia, maka kita tidak dapat menolak
kemungkinan untuk berlaku lagi insiden perubahan kerajaan melalui langkah dan penjajaran baru jika penjajaran itu boleh membentuk majoriti. Bahkan ia boleh berlaku lebih dari sekali dalam tempoh mandat yang sama jika fenomena lompat parti sering berlaku tanpa kawalan.

Dari segi demokrasi, perkembangan ini adalah suatu langkah ke belakang kerana rakyat akan melihat undinya sudah tidak ada nilai. Rakyat akan merasa kecewa kerana undi yang diberikan atas hasrat dan pendirian tertentu berdasarkan janji calon semasa berkempan, berubah apabila calon itu memenangi kerusi yang ditandingi.

Rakyat akan merasakan PRU dan sistem demokrasi di negara ini bukan lagi medan untuk mereka menyuarakan rasa hati dan aspirasi untuk menentukan kelangsungan pentadbiran dan
kesejahteraan negara, tetapi menjadi 'papan catur' untuk sebahagian politikus yang opportunis mencaturkan agenda tertentu bagi memenuhi kepentingan sendiri.

Natijahnya, kemungkinan akan ada kelompok rakyat yang akan mengambil sikap berkecuali atau mungkin juga untuk memboikot PRU kerana merasakan undi mereka boleh dijadikan bahan tawar-menawar oleh calon yang menang.Justeru, adalah sangat penting untuk pemimpin sama ada dari kem kerajaan ataupun pembangkang mengatasi krisis keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi negara ini sama ada melalui pengenalan undang-undang anti lompat atau apa-apa pendekatan yang berkaitan.

Jika tidak, kita akan menyaksikan fenomena sama berulang-ulang pada masa-masa akan datang. Amat malanglah jika Ahli Parlimen yang telah dilantik bertukar kem sesuka hati berdasarkan kem mana yang lebih menguntungkan dirinya atau memberi tawaran yang lebih menguntungkan walaupun alasan diberikan adalah untuk memudahkan perkhidmatnya kepada rakyat di kawasannya.

Jika pertukaran kerajaan yang kerap berlaku disebabkan amalan lompat parti ini dibenarkan menjadi norma baharu di negara kita, maka ia suatu yang amat malang. Bahkan ada kemungkinan
sistem demokrasi kita akan menjadi bahan jenaka oleh masyarakat antarabangsa. Paling merisaukan, akan ada di kalangan rakyat nanti yang sudah tidak yakin dengan
sistem demokrasi kita serta mengambil pendekatan untuk memboikot PRU dan tidak keluar mengundi.

Apapun keadaannya, diharapkan sistem demokrasi di negara kita terus subur sebagai medan untuk rakyat menentukan halatuju dan kelangsungan pentadbiran negara. Saya percaya, semua rakyat Malaysia, walau apapun fahaman politik mereka, inginkan
keamanan dan kesejahteraan untuk kelangsungan hidup mereka dan anak-anak mereka. Meraka juga ingin melihat kemajuan yang lebih baik untuk negara ini agar nikmatnya dapat dikecapi bersama sesama rakyat dari pelbagai kelompok dan peringkat
sosial.

Yang membezakan di antara mereka ialah kecenderungan dalam memilih tawaran-tawaran yang dibuat oleh parti-parti politik yang bertanding dalam PRU melalui pendekatan dan kaedah yang ingin dilaksanakan oleh parti-parti politik tersebut apabila
dipilih kelak. Kebebasan memilih pemimpin inilah yang menjadi antara asas hak seorang warganegara yang diiktiraf oleh Perlembagaan Malaysia.

Sebab itulah Perlembagaan negara kita menetapkan PRU perlu diadakan setiap lima tahun agar peranan dan semangat demokrasi ini hidup dan diamalkan selaras dengan prinsip
demokrasi berparlimen yang diamalkan negara kita.

Dr. Nisar Mohammad Ahmad
Pensyarah Kanan,
Fakulti Syariah dan Undang-undang,
Universiti Sains Islam Malaysia.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast