Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah South African B.1.351 Covid-19 variant
Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini memaklumkan sejumlah 3,170 kes rentas negeri direkodkan sejak Januari lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu dikesan akibat aktiviti rentas negeri yang dibuat sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 13 Januari tahun ini.

Tiga negeri yang menunjukkan atau melaporkan bilangan kes import tertinggi adalah Kedah sebanyak 714 kes (22.5 peratus), Perak sebanyak 582 kes (18.4 peratus) dan Negeri Sembilan sebanyak 370 kes (11.7 peratus).

Kata Dr. Noor Hisham, kluster-kluster rentas negeri turut menunjukkan peningkatan sejak gelombang ketiga bermula iaitu pada 20 September tahun lalu.

Kluster rentas negeri kata Noor Hisham merupakan kluster yang melibatkan kes indeks atau kes pertama yang dikesan mendapat jangkitan Covid-19 dari negeri lain.

“Kluster terakhir yang dilaporkan sebagai kluster rentas negeri adalah pada 30 Januari lalu iaitu Kluster Tersat di Terengganu,” jelas Dr. Noor Hisham lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata, KKM mengesan lima lagi kluster dengan empat daripadanya adalah kluster tempat kerja dan satu kluster komuniti.

Dua daripadanya berlalu di Johor dan masing-masing satu kluster di Selangor, Pulau Pinang dan Sabah.

“Kluster Jalan Permas Baru di Johor melibatkan 12 kes, Kluster Jalan Gemilang Tiga yang berlaku Johor Bahru dan Kota Tinggi, Johor pula melibatkan 53 kes.

“Kluster Tapak Bina Jalan You City di daerah Hulu Langat, Selangor dengan 25 kes dan Kluster Bukit Tambun, Pulau Pinang dengan 16 kes,” menurutnya.

Kluster melibatkan kluster komuniti dikesan berlaku di daerah Keningau di Sabah iaitu Kluster D Gana Sabah yang menjangkiti 20 pesakit. – MalaysiaGazette.