KUALA LUMPUR – Presiden Orang Kurang Upaya (OKU) Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Radzi gembira akhirnya penggunaan istilah Elaun Pekerja Cacat (EPC) akan ditukar kepada Elaun Pekerja OKU.
Kata beliau, istilah yang akan ditukar itu hasil suara dan cadangan yang disampaikannya sebagai wakil golongan berkenaan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
“Sebenarnya nama EPC itu dari tahun 70-an lagi tetapi kami bimbang golongan OKU tersinggung namun begitu kami berterima kasih kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, (Datuk Seri Rina Mohd Harun) kerana mendengar keluhan kita, insya Allah mereka tukar nama EPC mungkin Elaun Pekerja OKU.
“Saya rasa itu lebih molek sebab yang kita tahu OKU itu bukan kelainan tapi OKU apabila terma cacat digunakan seperti memandang rendah golongan itu.
“Jadi kami mempertahankan nama EPC ditukar kepada Elaun Pekerja OKU,” katanya yang juga Ahli Dewan Negara kepada pemberita ketika hadir pada Majlis Sambutan Hari Sindrom Down Sedunia 2021 hari ini.
Penukaran itu ujarnya akan dibuat sempena ulang tahun ke-75 Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak lama lagi.
Baru-baru ini, KPWKM memaklumkan pihaknya sedang memperhalusi dan mengkaji terminologi yang digunakan untuk dijenama semula, susulan isu terminologi EPCÂ dikatakan menyinggung perasaan dan sensitiviti golongan tertentu.
Kementerian berkenaan juga memohon maaf sekiranya terminologi EPC yang digunakan menyinggung perasaan dan sensitiviti golongan tertentu seperti mana tular di media sosial.-MalaysiaGazette