KUALA LUMPUR – Kerajaan menganggarkan kira-kira RM6 bilion diperlukan untuk melaksanakan pelbagai usaha bagi mengekal dan memelihara kawasan hutan di negara ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, instrumen kewangan sedia ada belum mencukupi bagi menampung peruntukan yang besar itu.
Namun, katanya, kerajaan menerusi pelbagai instrumen kewangan telah mewujudkan Pemindahan Fiskal Ekologi untuk Pemuliharaan Biodiversiti, Tabung Amanah Konservasi Sumber Asli Nasional dan Tabung Amanah Kumpulan Wang Pembangunan Hutan di bawah kerajaan-kerajaan negeri di Semenanjung.
“Menyedari hakikat ini, pada tahun 2020, Jemaah Menteri telah bersetuju meluluskan penubuhan Malaysia Forest Fund (MFF) yang merupakan entiti yang akan menguruskan mekanisme kewangan khusus untuk sektor perhutanan.
“Selain itu, ia akan melaksanakan mekanisme mengurangkan pelepasan dari penebangan dan kemerosotan hutan dan peranan pemuliharaan, pengurusan hutan yang lestari serta peningkatan stok karbon hutan di negara-negara membangun.
“Saya yakin usaha MFF ini akan membuka peluang kepada badan korporat, pihak swasta dan institusi kewangan untuk bersama terlibat sebagai rakan strategik dalam aktiviti konservasi hutan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian berucap pada majlis pelancaran Dasar Perhutanan Malaysia sempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa peringkat kebangsaan 2021 di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) hari ini.
Turut hadir, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
Muhyiddin berkata, melalui instrumen pensijilan karbon iaitu Sijil Pemeliharaan Hutan (FCC) dan Forest Carbon Offsets (FCO) yang dikeluarkan MFF adalah berdasarkan keperluan Konvensyen Rangka Kerja PBB mengenai Perubahan Iklim yang akan memberi kelebihan kepada badan korporat dari segi penerimaan pengguna serta meningkatkan akses pasaran.
Kata beliau, MFF dijangka membawa masuk dana sebanyak USD100 juta dalam tempoh tujuh tahun akan datang yang seterusnya disalurkan kepada kerajaan negeri khusus untuk usaha konservasi termasuk perhutanan sosial yang akan dapat meningkatkan taraf sosioekonomi Orang Asli dan komuniti setempat.
Beliau turut menjelaskan, penglibatan sektor swasta dalam usaha memulihara dan mengurus khazanah negara melalui pensijilan karbon akan dapat meningkatkan Indeks Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) syarikat.
“Ia bukan sahaja terhad sebagai aktiviti tanggungjawab sosial korporat, malah aspek pelaporan kelestarian dalam bidang perniagaan telahpun menjadi satu keperluan sektor swasta pada masa kini.
“Saya berharap pihak swasta akan mengambil peluang ini untuk bekerjasama sebagai rakan strategik MFF ke arah meningkatkan lagi usaha konservasi hutan kita secara kolektif.
“Saya menghargai komitmen yang ditunjukkan oleh kerajaan-kerajaan negeri dalam mewartakan kawasan sensitif alam sekitar iaitu Hutan Simpanan Kekal, kawasan perlindungan, Rizab Hidupan Liar dan kawasan berkepentingan antarabangsa seperti Tapak RAMSAR dan Tapak Manusia dan Biosfera (MAB),” katanya.
Untuk itu, beliau menyeru kerajaan negeri mempertingkatkan usaha mewartakan dan mengekalkan kawasan berhutan terutamanya kawasan koridor ekologi Central Forest Spine (CFS) dan Heart of Borneo (HoB).
Katanya, rancangan Fizikal Negara Keempat (RFN4) yang sedang dimuktamadkan turut memberi penekanan kepada CFS bagi menjamin kesinambungan landskap hutan menerusi penubuhan koridor ekologi baharu.
Pendekatan itu berupaya mengurangkan konflik manusia dan hidupan liar serta membolehkan pergerakan bebas hidupan liar khususnya spesies ikonik negara yang diancam kepupusan.
“Sekiranya tindakan luar biasa atau extra ordinary actions tidak dilakukan sekarang, negara pasti akan kehilangan spesies ikonik terutamanya Harimau Malaya buat selama-lamanya.
“Justeru, saya menyeru kerajaan-kerajaan negeri mengambil tindakan untuk mewartakan kawasan habitat Harimau Malaya sebagai Hutan Simpanan Kekal atau Rizab Hidupan Liar,” katanya.
Muhyiddin turut menjelaskan, Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) ke-78 pada 29 Januari lalu telah menyaksikan penyatuan julung kalinya semua negeri di Malaysia dalam bidang pengurusan perhutanan negara yang telah menjangkau usia 120 tahun.
Pada mesyuarat itu, semua kerajaan negeri telah bersetuju dan menerima Dasar Perhutanan Malaysia yang menggariskan hala tuju yang jelas kepada sektor perhutanan dalam mendepani cabaran-cabaran baharu di peringkat domestik dan antarabangsa.
“Saya ingin tekankan bahawa Dasar Perhutanan Malaysia ini adalah dasar kita bersama. Kita semua harus bertindak dan memainkan peranan lebih aktif sebagai ejen konservasi dan penggerak pembangunan sosioekonomi negara.
“Saya berharap usaha bersama Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam melaksanakan lima objektif Dasar Perhutanan Malaysia akan terus padu bagi mencapai sasaran yang telah dihasratkan,” ujarnya.
Beliau menyambut baik komitmen kerajaan negeri untuk meningkatkan litupan hutan di bawah Rancangan Struktur Negeri masing-masing dengan menjelaskan, kerjasama strategik kedua pihak itu termasuk swasta adalah penting dalam merealisasikan sasaran yang telah ditetapkan.
“Bagi menyokong hasrat ini, saya telah melancarkan program Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 Juta Pokok” di seluruh negara dengan sokongan Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri pada 5 Januari lalu,” katanya. – MalaysiaGazette