Najib Razak

KUALA LUMPUR – Tindakan undang-undang boleh diambil terhadap menteri-menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekiranya jika isu had hutang statutori negara tidak diperbetulkan dan diluluskan Parlimen.

Lantaran itu, Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan PN perlu jujur dan perbetulkan keadaan secepat mungkin.

“Bawalah usul baru untuk menaikkan lagi had hutang untuk diluluskan dalam parlimen sebagaimana kerajaan PN pernah buat pada bulan Ogos tahun lalu,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Tambah beliau, hutang negara bukan isu kecil yang hanya memberi kesan kepada kerajaan PN hari ini sahaja tetapi kerajaan-kerajaan masa depan dan rakyat perlu berdepan pada akhirnya.

Bekas perdana menteri itu berkata, tidak salah bagi kerajaan meminjam banyak semasa pandemik untuk bantu rakyat selagi ianya diluluskan Parlimen dan tidak menyalahi undang-undang.

Malah, katanya, beliau antara individu pertama yang beberapa kali menyarankan kerajaan PN untuk naikkan had hutang kerajaan dari 55% selepas melihat nisbah hutang negara telah naik dari 48.7% semasa Barisan Nasional (BN) kepada 54.4% pada masa kerajaan PH tumbang dan negara mula diancam pandemik.

Lalu, kerajaan PN berbuat demikian dan berjaya mendapat kelulusan Parlimen setelah membawa Rang Undang-Undang untuk naikkan had hutang dari 55% ke 60% pada bulan Ogos lalu.

”Tak salah untuk kerajaan meminjam untuk beri bantuan kepada rakyat pada masa pandemik.

”Namun, kerajaan PN telah mencecah had 60% yang dinaikkan sendiri setelah nisbah hutang kerajaan sebenar telah naik ke 62.2% pada akhir tahun 2020 dan dijangka mencecah 64.5% pada akhir tahun 2021 dengan jumlah hutang kerajaan sebanyak RM975 bilion (berbanding RM687 bilion sebelum PRU14).

”Tapi ianya salah jika kerajaan melanggar undang-undang sendiri dan had hutang yang telah diusulkan kerajaan yang kemudiannya diluluskan Parlimen.

”Jika had ini tidak penting, buat apa kerajaan PN usulkan untuk dinaikkan pada tahun lepas? Ianya juga salah jika kerajaan PN menipu dan menafikan had hutang sudah tercecah biarpun laporan-laporan rasmi Kementerian Kewangan sendiri nyatakan dengan jelas bahawa nisbah hutang sudah pada paras 62.2% pada akhir tahun 2020,” ujarnya. – MalaysiaGazette