Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini memuktamadkan perjanjian mendapatkan sebanyak 30 peratus lagi bekalan vaksin Covid-19 Comirnaty (Concentrate For Dispersion For Injection) keluaran Pfizer-BioNTech.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini memuktamadkan perjanjian mendapatkan sebanyak 30 peratus lagi bekalan vaksin Covid-19 Comirnaty (Concentrate For Dispersion For Injection) keluaran Pfizer-BioNTech.

Dalam masa yang sama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, Malaysia juga bakal menerima sebanyak 12 juta dos vaksin Sinovac selepas termeterainya perjanjian hari ini.

Perkembangan semasa, kata beliau, menjadikan Malaysia memperolehi hampir 60 peratus vaksin Covid-19.

“Saya hari ini baru menandatangani untuk menambah vaksin kita menambah sebanyak 30 peratus lagi vaksin Pfizer. Juga pagi tadi saya telah menandatangani perjanjian dengan Sinovac kita bersetuju untuk kita secure 12 juta dos yang ini yang dibuat di negara kita.

“Selain daripada 200,000 directly Sinovac daripada China ini pagi tadi 12 juta dos lagi maknanya kita sudah ada hampir 60 peratus vaksin yang telah peroleh selain daripada vaksin AstraZeneca,” katanya menerusi sidang media Perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan menerusi aplikasi Zoom hari ini.

Malaysia baru-baru ini telah mendapat akses bekalan vaksin Covid-19 sebanyak 66.7 juta dos melalui menerusi pembelian awal daripada lima pengeluar.

Ia termasuk vaksin dari syarikat Pfizer-BioNTech, AstraZeneca, Sinovac Life Sciences Co Ltd (Sinovac) serta CanSinoBIO,  daripada Sputnik V.-MalaysiaGazette