KUALA LUMPUR – Umat Islam harus mengamalkan sifat tidak membazir bagi menjelang Ramadan yang akan datang.
Pengerusi Majlis Penasihat Pengguna Negara, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, walaupun Ramadan belum tiba namun pihaknya ingin memberi nasihat kepada semua pengguna Islam untuk mengubah tabiat membazir.
“Kami kesal tabiat membazir di kalangan umat Islam ketika bulan Ramadan tidak menunjukkan tanda akan berubah. Tabiat ini berada pada tahap yang sangat serius sehingga umat Islam gagal menjadi contoh dalam budaya hidup sederhana,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Berdasarkan statistik Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (SWCorp), kira-kira 4,005 tan makanan yang masih boleh dimakan dibuang di kawasan pelupusan sampah setiap hari semasa Ramadan.
Perangkaan tersebut meningkat antara 15 hingga 20 peratus setiap kali musim perayaan.
“Ia bermakna 120,000 tan pembuangan makanan telah terjadi setiap bulan bersamaan 343 juta pek makanan saiz medium nasi lemak ayam.
“Mengikut SWCorp, dengan nilai pembuangan itu seramai 2.97 juta orang boleh diberi makan tiga kali sehari,” ujarnya.
Menurut Azmi, trend membeli makanan berlebihan pada bulan Ramadan sering meningkat, terutama di bandar besar seperti Kuala Lumpur.
Katanya, daripada sisa pepejal, 44.5 peratus adalah buangan makanan yang boleh membawa impak kepada alam sekitar, ekonomi nasional dan implikasi kepada agama.
“Kami mengharapkan agar promosi berbuka puasa di restoran dan hotel secara mewah hendaklah dihentikan.
“Ia kerana, hidangan ratusan juadah di bulan Ramadan tidak membawa manfaat kepada umat Islam yang sepatutnya menumpu kepada usaha membina sahsiah dan meningkatkan kualiti ibadah.
“Berbelanja untuk Ramadan dan sambutan Aidil Fitri perlu dirancang dengan bijak agar tidak terjebak dengan pembaziran.” tegasnya.
Selain itu, Azmi meminta kerajaan dan swasta bekerjasama memerangi pembaziran dengan melancarkan kempen kesedaran melalui media.
Tambah beliau, pembaziran makanan hendaklah dianggap sebagai skandal sosial masyarakat perlu sedar bahawa terdapat ramai orang miskin dan mereka yang tertindas di seluruh dunia sedang menghadapi kebuluran.
“Akibat peningkatan pendapatan dan standard kehidupan, konsumerisme dan keupayaan membeli serta pembaziran pemakanan sering dianggap isu kecil, namun sebenarnya ini adalah kesilapan yang sangat besar,” ujarnya. – MalaysiaGazette