Kumpulan penyelidik dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah berjaya memenangi geran penyelidikan Eco Champion Awards 2021 daripada World Wild Life Fund (WWF) Malaysia, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Kumpulan penyelidik dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berjaya memenangi geran penyelidikan Eco Champion Awards 2021 daripada World Wide Fun for Nature (WWF) Malaysia, baru-baru ini.

Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, kemenangan itu merupakan pengiktirafan WWF Malaysia terhadap kumpulan penyelidiknya yang menjalankan akitiviti berkaitan inisiatif hijau dan alam sekitar kepada komuniti setempat.

Jelas beliau, kumpulan penyelidik UTeM mengambil inisiatif membangunkan sistem pemantauan kualiti air tawar berasaskan Internet Kebendaan (IoT) yang efektif dan berkos rendah.

“Ia bertujuan untuk membantu pihak berkuasa memantau dan mengawasi kualiti air tawar secara jauh dan mengesan sebarang pencemaran air tawar yang sedang berlaku dengan lebih awal.

“Kumpulan penyelidik terdiri dari Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (FKEKK) UTeM diketuai oleh Ir. Ts. Dr. Ranjit Singh a/l Sarban Singh bersama ahlinya Ir. Siti Aisyah Anas serta Muhammad Faiz Mohd Kamal yang merupakan pelajar pascasiswazah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas mengenai perjalanan penglibatan mereka, Dr Ranjit berkata, pada fasa pertandingan awal mereka telah menyempurnakan kertas cadangan projek pada 15 Disember 2020 lalu.

“Penghasilan video pendek yang telah dilengkapkan sebelum ini adalah bagi menerangkan tentang cadangan projek disempurnakan pada 27 Januari lalu.

“Hasil keputusan penilaian mengumumkan projek cadangan mereka telah berjaya terpilih dan memenangi geran khas bernilai RM 3,000.” ujarnya.

Jelas beliau lagi, dengan geran yang telah dimenangi maka program selanjutnya akan dijayakan seperti pembangunan sistem, pengujian sistem dan penyediaan laporan dalam tempoh projek sebenar bermula 31 Mac hingga 10 Jun ini.

“Namun, ekoran larangan pergerakkan rentas negeri disebabkan oleh pandemik Covid-19 telah melambatkan perlaksanaan pengujian sistem yang sepatutnya dijalankan di kawasan air tawar sekitar Lembah Klang.

“Justeru itu, sistem yang dibangunkan akan diuji di sungai Melaka terlebih dahulu bagi tujuan verifikasi awal terhadap kebolehfungsian sistem dalam memantau kualiti air tawar.

“Diharapkan, usaha ini mampu berjaya menghasilkan sistem yang dapat mengesan parameter air fizikokimia menggunakan sensor berkos rendah serta menguji tahap keberkesanan sistem dalam mengesan pencemaran air tawar,” tegasnya. -MalaysiaGazette