KUALA LUMPUR – Pasangan artis pengantin baharu Risteena dan Isa Khan menjadi tumpuan di media sosial gara-gara didakwa sedang menikmati bulan madu di Semporna, Sabah sejak semalam.
Ia berdasarkan foto dan video-video romantis yang dikongsikan di Instagram milik mereka.
Rata-rata netizen mempertikaikan tindakan pasangan itu yang mendapat kebenaran merentas negeri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sedang dikuatkuasakan.
Malah segelintir netizen menegur pasangan yang berkahwin pada 12 Mac lalu itu kerana dilihat melanggar SOP dengan menyalah guna kebenaran yang diberikan oleh pihak berkuasa.
Hari ini, polis membuka kertas siasatan terhadap pasangan suami isteri Instafamous yang merentas negeri untuk tujuan bulan madu mengikut Seksyen 22(d) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, siasatan secara menyeluruh mendapati wujud keraguan berdasarkan keterangan yang diberikan oleh pasangan berkenaan kepada polis pada 20 Mac lalu.
Jika disabitkan kesalahan, pasangan ini boleh dikenakan tindakan kompaun sehingga RM10,000.
Gambar pasangan berusia dalam lingkungan 20-an itu tular di media sosial kononnya pergi berbulan madu di suatu kawasan peranginan sehingga dikecam netizen pada Jumaat lalu.
Sementara itu berdasarkan video dan gambar yang dikongsikan Risteena dan Isa, mereka dipercayai berlepas ke Sabah semalam.
Mereka juga dipercayai memilih salah satu ‘hidden gem’ di Sabah iaitu sebuah resort terapung yang terletak di Pulau Nusa Kuya, Semporna.
Pasangan Nur Risteena Munim Zainul Ilyas, 32 dan Isa Khan, 28 bernikah di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. – MalaysiaGazette