Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador (dua dari kanan) menunjukkan dadah jenis syabu bernilai RM35.4 juta yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 22 MAC 2021.

SHAH ALAM – Baru tiga bulan aktif dan mula meraih pendapatan lumayan, sindiket mengedar dan menyeludup dadah jenis syabu tumpas dengan tertangkapnya tiga individu dalam operasi yang dilakukan polis pada Rabu lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, tiga suspek yang mana dua daripadanya adalah transporter (pengangkut) serta seorang pemilik sebuah rumah yang dijadikan sebagai setor simpanan syabu dicekup dalam serbuan di Kajang.

Katanya, dalam serbuan pada jam 9.15 malam oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, polis mendapati bekalan dadah diperolehi Thailand itu dibawa ke Selangor dari Kelantan dengan menggunakan lori.

“Hasil pemeriksaan polis berjaya merampas 26 guni yang mengandungi 650 bungkusan plastik berisi dadah syabu seberat 673.2 kilogram.

“Pemeriksaan susulan ke atas sebuah lori yang diparkir di hadapan rumah tersebut berjaya membawa kepada penemuan tambahan 12 guni berisi 299 bungkusan plastik berisi syabu seberat 309.85 kilogram,” katanya sambil menambah suspek berumur antara 32 hingga 42 tahun.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media kejayaan JSJN di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Menurut Abdul Hamid, jumlah keseluruhan rampasan syabu adalah sebanyak 983 kilogram dengan anggaran bernilai hampir RM35 juta.

Tambah beliau, dadah tersebut boleh digunakan hampir lima juta penagih.

Abdul Hamid memberitahu, polis turut menyita sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), Naza Citra dan wang tunai berjumlah RM3,870.

“Hasil risikan mendapati pemilik rumah itu dan dua transporter berkenaan mendapat sejumlah bayaran lumayan untuk mengangkut dan menghantar bekalan itu ke Lembah Klang,” ujarnya.

Bagaimanapun, polis sedang memburu seorang lagi suspek yang merupakan dalang sindiket berkenaan.

Jelasnya, hasil saringan air kencing ke atas ketiga-tiga suspek didapati mereka positif dadah jenis menthamphetamine dan mempunyai beberapa rekod jenayah lampau dan dadah.

Katanya, kesemua suspek direman selama enam hari bermula 18 Mac lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette