KUALA LUMPUR – Walaupun UMNO kini menjadi sebahagian daripada kerajaan namun episod kerajaan 22 bulan jangan sesekali dilupakan.
Sebaliknya episod itu perlu dijadikan pengajaran kerana keperitan rakyat selama tempoh itu adalah realiti dan bukti sebenar bahawa UMNO amat penting untuk kembali sebagai penaung rakyat.
Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang menyingkap episod itu berkata, waktu itu ada yang mahu UMNO diharamkan, mahu UMNO dibubar.
Ada yang kata UMNO sudah mati, kononnya perjuangan UMNO tak relevan dan macam-macam lagi berkaitan UMNO dinafikan.
”Apa-apa saja berkait dengan UMNO akan ditekan dan dihimpit… pemimpin UMNO yang tak mahu lompat disabit dakwaan mahkamah, akaun UMNO dibeku, ahli-ahli UMNO ditolak dan macam-macam lagi,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Namun, episod itu tidak melunturkan perjuangan UMNO.
Beliau turut mempertahankan bahawa UMNO bukan parti rasis, elitis atau eksklusif tapi parti ini sebuah perjuangan maka acuannya perlu dipertahankan demi agama, bangsa dan tanah air.
”Jangan robekkan acuan yang kita ada kerana ke mana kita Melayu akan berada jika bumi di pijak ini kelak milik orang? Kerana itu, UMNO mesti terus dipelihara, hala tujunya mesti jelas dan perjuangannya mesti dihayati untuk diaplikasi… maka Perhimpunan Agung UMNO 2020 adalah manifestasi kepada arah dan masa hadapan parti. Bersatu, Bersetia, Berkhidmat – UMNO Dulu, Kini, Selamanya,” ujar beliau.
Tengku Adnan berkata, UMNO sahaja tidak akan memenangkan orang Melayu dalam pilihan raya tetapi jika UMNO kukuh dengan bangsa Melayu sendiri bersatu maka sokongan itu akan datang daripada pelbagai pihak yang yakin dan percaya dengan kemampuan UMNO.
Beliau mengingatkan, semua pihak perlu sedar bahawa sikap segelintir dalam parti sendiri telah menyebabkan parti ini cuba dirosakkan hanya kerana rasa tidakk puas hati walaupun jasa UMNO terlalu banyak.
Menjelang Perhimpunan Agung UMNO yang akan diadakan pada hari Sabtu dan Ahad ini, Tengku Adnan meminta jurucakap-jurucakap yang dipilih untuk membawa suara akar umbi pada nanti melaksanakan tanggungjawab yang diamanah.
”Sekarang ini tak perlulah pertahankan apa-apa kenyataan yang bercanggah dari keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO atas apa juga alasan walaupun bersifat peribadi. Tak elok dan tak mendatangkan kebaikan pun malah hanya mengundang kemudaratan.
Katanya, untuk yang di luar parti pula, UMNO perlu tahu menilai – mana yang mesti diambil perhatian dan mana pula yang mesti diabaikan.
Memang di luar UMNO itu bukan ahli UMNO tetapi tidak bermakna mereka semua menentang hala tuju dan perjuangan parti ini.
Realitinya, kata beliau, UMNO masih diperlukan dan UMNO juga memerlukan sokongan daripada orang Melayu.
”Pemikiran terhadap UMNO bukan hanya perlu dilihat wujud dan relevan pada mata orang Melayu tetapi juga mesti kukuh dan kuat untuk menjadi penaung dan pembela semua rakyat. – MalaysiaGazette
UMNO tetap bernilai sampai bila bila, tetapi Presiden UMNO yang menyebabkan UMNO jadi “kupang tembaga”. Presiden UMNO terlalu ego dan tidak menghayati perjuangan parti sehingga menjadikan UMNO milik persendirian dan menetukan hala tuju UMNO untuk kepentingan peribadi. Jika Presiden UMNO dapat berhenti dengan sukarela, UMNO akan dapat merencanakan hal tuju dan perjuangan pada PRU yang akan datang nanti. Sebelum ini Najib dengan kedegilannya dan Zahid juga meneruskan kedegilan tersebut dan terus merosakan imej UMNO. Tanggapan UMNO parti perompak dan dipimpin oleh penyamun mesti dikikis dan dibersihkan.