Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi YB Datuk Sri Dr. Wee Jeck Seng menyampaikan Anugerah Peserta Terbaik Program kepada syarikat Aura Naura Manufacturing pada Majlis Anugerah Usahawan Baharu Bumiputera Sektor Perkayuan dan Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bersama industri di Putrajaya. Foto FIKRI YAZID,23 MAC 2021.

PUTRAJAYA – Sumbangan dan penglibatan usahawan Bumiputera dalam industri eksport perkayuan masih berada pada tahap rendah.

Ia terbukti berdasarkan nilai eksport dan perabot sebanyak 1 peratus, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

“Walaupun pada masa kini eksport produk perkayuan dan perabot negara dilihat membanggakan di pasaran dunia, namun sumbangan usahawan Bumiputera dalam nilai eksport perkayuan masih jauh ketinggalan,” kata beliau menerusi ucapannya yang dibacakan oleh timbalannya, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng sempena Majlis Anugerah Usahawan Baharu Bumiputera Sektor Perkayuan di bawah Program VenTureS.

Majlis anugerah tersebut membabitkan 20 usahawan baharu Bumiputera yang telah menamatkan sesi latihan.

Lantaran itu, kata beliau, agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera perlu diteruskan sebagai misi nasional  untuk melahirkan lebih ramai Bumiputera yang berdaya bersaing dalam pasaran terbuka.

“Kita mahu program yang dilaksanakan bukan sekadar melahirkan usahawan Bumiputera tetapi memastikan mereka boleh berdikari dan bersaing dalam pasaran terbuka,” katanya lagi.

Beliau dalam masa yang sama berharap Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) akan meneruskan kerjasama dengan agensi kerajaan lain untuk meningkatkan penglibatan Bumiputera dalam sektor perkayuan negara.

Katanya, harapannya itu selari dengan dengan sasaran Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN) 2021- 2030, untuk meningkatkan bilangan usahawan Bumiputera daripada 471 orang pada masa ini kepada 600 orang usahawan Bumiputera menjelang menjelang tahun 2025. -MalaysiaGazette