LONDON – Pemain tengah Juventus, Aaron Ramsey dilaporkan akan berhijrah ke England untuk menyertai kelab Liverpool akhir musim ini.
Laporan di Serie A Itali mendakwa pemain itu kini berada dalam radar the Kops kendalian Jurgen Klopp.
Pemain berusia 30 tahun itu mengharungi musim Serie A yang hambar apabila hanya melakukan 12 penampilan bersama the Old Lady ekoran krisis kecederaan.
Pemain antarabangsa Wales menyertai pasukan gergasi Itali itu secara percuma dari Arsenal pada tahun 2019.
Pada awal musim Serie A, dia mempamerkan aksi terbaik sebelum merudum sejak kebelakangan ini ekoran masalah kecederaan.
Kini Ramsey mendapati dirinya tidak lagi pilihan kesebelasan utama skuad Old Lady di bawah Pengurus Andrea Pirlo.
Pirlo lebih mengutamakan Arthur, Weston McKennie dan Rodrigo Bentancur dalam skuad utama berbanding Ramsey.
Walaupun sudah dua tahun meninggalkan Emirates, Ramsey masih popular dalam kalangan penyokong dan kakitangan Arsenal yang mahu dia kembali semula ke situ.
Namun, akhbar di Itali mendakwa dua lagi kelab Liga Perdana Inggeris mula mengintai perkembangan semasa pemain itu di Turin iaitu Liverpool dan West Ham.
Klopp berdepan risiko kehilangan pemain tengahnya, Georginio Wijnaldum kepada Barcelona selepas laporan terbaharu minggu ini mendakwa pemain Belanda itu sudah menandatangani pra kontrak bersama the Catalans.
Ini bermakna the Reds akan memburu penggantinya dan kualiti Ramsey yang terbukti di Emirates sebelum ini menjadi sokongan untuk Liverpool berusaha mendapatkan pemain itu.-MalaysiaGazette