Pakar bebas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Agnes Callamar. foto agensi

GENEVA – Pakar bebas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Agnes Callamard yang sedang menjalankan siasatan terhadap pembunuhan kejam wartawan Jamal Khashoggi mengaku menerima ancaman dari seorang pegawai kanan Arab Saudi.

Kenyataan itu juga telah disahkan oleh PBB, semalam.

Menurut laporan akhbar The Guardian, Callamard mengatakan ancaman itu diterima sejak Januari 2020 lagi.

Difahamkan, pegawai itu mengancam akan ‘mengerjakan’ Callamard jika beliau tidak menghentikan siasatannya ke atas kes pembunuhan Khashoggi.

Jelas Callamard, beliau tidak takut akan ancaman yang diberikan kepadanya itu.

“Saya mengakui bahawa gertakan itu tidak berfungsi pada saya, namun perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Bagaimanapun, itu tidak akan menghalang saya untuk bertindak seperti yang saya fikir adalah tindakan yang betul untuk dilakukan,” katanya.

Sehubungan itu, jurucakap hak asasi manusia PBB, Rupert Colville dalam satu kiriman e mel kepada Reuters berkata, kami mengesahkan perincian yang dinyatakan dalam laporan The Guardian tentang ancaman yang disasarkan terhadap Callamard adalah tepat.

Untuk rekod, Jamal dikatakan maut dalam insiden pertelagahan ketika berada di dalam bangunan konsulat negara itu di Istanbul pada tahun 2018 lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast