Antara produk yang berjaya dirampas

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyerbu 10 premis perniagaan yang disyaki menjual steroid anabolik dan pelbagai produk yang tidak berdaftar

Operasi yang dilakukan Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF) kementerian itu bersama-sama Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Negeri Selangor dan Kuala Lumpur serta Putrajaya merampas 300 jenis item.

Rampasan tersebut merangkumi produk yang mengandungi steroid anabolik, produk-produk psikotropik dan bahan terlarang lain serta pelbagai produk tidak berdaftar.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM, Datin Dr. Faridah Aryani Md Yusof berkata, tindakan itu diambil rentetan daripada beberapa aduan awam mengenai penjualan produk steroid anabolik di platform e-dagang.

Jelasnya, jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM1.2 juta.

Antara produk yang berjaya dirampas yang mengandungi steroid anabolik, produk-produk psikotropik, dan bahan terlarang lain serta pelbagai produk tidak berdaftar.

“Turut dirampas adalah beberapa peranti digital seperti komputer peribadi, komputer riba dan telefon bimbit yang digunakan sebagai medium untuk memasarkan produk.

“Penjualan produk-produk kesihatan yang tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Individu yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Dr. Faridah, bagi syarikat yang melakukan kesalahan yang sama boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

10 premis telah diserbu akibat terlibat dalam penjualan steroid anabolik dan pelbagai produk yang tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), KKM pada 23 March lalu.

Sehubungan itu, katanya, pengguna perlu memastikan produk kesihatan yang dijual mempunyai pelekat keselamatan hologram dan Nombor Pendaftaran Produk (MAL) sebelum membelinya.

Status pendaftaran produk boleh disemak dengan melayari laman sesawang http://www.npra.gov.my di ruangan Product Status atau hubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan di talian 1-800-88-6722.

Orang ramai juga boleh memuat turun aplikasi NPRA Product Status daripada Google Play Store, Apple App Store atau Huawei AppGallery bagi tujuan semakan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast