Adenan (tiga dari kanan) menunjukkan motosikal serta pacuan empat roda milik tonto yang disita pihaknya.

SEBERANG JAYA – Tindakan tonto yang sering menggagalkan operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang bagi mengesan kenderaan berat membawa muatan lebih berjaya dilumpuhkan hari ini.

Bertindak atas maklumat dan risikan sepasukan pegawai dan anggota JPJ dengan kerjasama polis, Agensi Antidadah Kebangsaan serta Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia menyerbu tujuh lokasi sekitar Seberang Perai yang dipercayai lokasi tonto berkumpul.

Motosikal, pacuan empat roda serta radio walkie-talkie milik tonto yang dirampas pihak berkuasa hari ini.

Antara lokasi diserbu termasuk di pintu keluar Pejabat JPJ Seberang Jaya, Persimpangan Balai Polis Seberang Jaya, susur keluar SPK Valdor serta susur keluar SPK Penaga.

Pengarah JPJ Pulau Pinang, Adenan Md Isa bekata, serbuan yang bermula jam 8.30 pagi hingga 10 pagi itu membawa kepada tangkapan tujuh tonto berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun.

Kata beliau, operasi itu dilakukan susulan pihaknya mengesan kegiatan tonto yang menjadi orang tengah dalam menyalurkan maklumat berhubung pergerakan penguatkuasa kepada pengusaha kenderaan berat.

Adenan (tiga dari kanan) menunjukkan radio walkie-talkie yang digunakan tonto bagi menyalurkan maklumat operasi penguat kuasa JPJ.

Jelasnya, tindakan tonto itu menghalang pihak JPJ mengenakan tindakan undang-undang terhadap pemilik kenderaan berat yang membawa muatan lebih, sekali gus menjadi punca ketirisan hasil kerajaan serta integriti.

“Kesemua tujuh suspek itu akan diserahkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Motosikal dan pacuan empat roda milik tonto yang disita dalam serbuan hari ini.

“Dalam operasi berkenaan juga kita turut menyita enam buah motosikal dan sebuah pacuan empat roda yang digunakan tonto berkenaan bagi mengekori pihak berkuasa.

“Kita percaya mereka ini semua digajikan pengusaha kenderaan berat seperti lori membawa muatan pasir, batu, simen serta kargo untuk mengelak tindakan undang-undang,” katanya kepada pemberita selepas operasi di Pejabat JPJ Seberang Jaya hari ini.

Mengulas mengenai modus operandi tonto berkenaan, Adenan memberitahu, mereka akan menunggu di luar pagar JPJ dan susur laluan lori bagi melihat pergerakan pegawai penguatkuasa.

“Mereka akan mengekori kenderaan penguatkuasa sehingga kenderaan terbabit pulang ke ibu pejabat.

“Selain menghalang operasi JPJ tonto yang digajikan sehari lebih RM300 itu turut menyalurkan maklumat operasi penguatkuasa lain,” ujarnya.

Tambah beliau, operasi sebegini akan diteruskan bagi memastikan tugas penguatkuasa dijalankan tanpa sebarang gangguan. – MalaysiaGazette