Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Langkah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat penangguhan pelaksanaan Undi18 ke tahun depan tidak memberikan kesan kepada Pas.

Menurut presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kematangan seseorang untuk mengundi lebih penting berbanding pendekatan pengaruh budaya negara Barat yang ingin diadaptasikan di negara ini.

“Undi bergantung kepada kematangan, jangan undi 18 tahun sahaja mestilah ada kematangan. Kita tak boleh terpengaruh dengan negara Barat.

“Dalam Islam bila disebut tahun kematangan, ia boleh berlaku 16 tahun, 18 tahun boleh berlalu 25 tahun pun, ada orang 40 tahun pun tak matang lagi.

“Kita berpandu kepada konsep demokrasi Barat pada umur, bukan kematangan. Sebab itu perlu dibuat pertimbangan kepada kematangan bukan kepada umur sahaja,” katanya dalam satu video di Facebook hari ini.

Justeru itu, Abdul Hadi berkata, penangguhan itu nyata tidak memberikan kesan kepada partinya.

“Tidak ada kesan apa kepada Pas, yang penting kita mahu rakyat yang matang memilih kerajaan yang matang, kalau rakyat mentah pilihlah kerajaan mentah. Kematangan yang penting,” katanya lagi.

Ahli Parlimen Marang itu mengulas mengenai kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh yang berkata pendaftaran pemilih automatik dan mengundi pada usia 18 tahun (Undi18) dijangka boleh dilaksanakan selepas 1 September 2022.

Abdul Ghani semalam beralasan pihaknya perlu menilai semula pelbagai kekangan dan isu yang telah menjejaskan perancangan dan persiapan awal SPR.

Abdul Hadi turut ditanya mengenai kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa UMNO bersedia untuk bergerak solo jika Pas memilih untuk tidak bersama parti itu pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) kelak.

Beliau berkata; “Itu kena tanya UMNO terpulang kepada dia. Pas sehingga hari ini, masih begitu. Kita menuju kearah pertandingan dua penjuru, tak mahu rakyat berpecah banyak.

Mohamad Hasan sebelum ini berkata, rundingan pembahagian kerusi dengan Pas masih berjalan dan belum muktamad.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, Pas tetap dengan pendirian mahu memperkukuh kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN).

“Kita mahu mewujudkan sebuah kerajaan yang adil dan kuat kerana kerajaan hari ini mendapat majoriti mudah. Kita memerlukan majoriti besar.

“Kalau mendapat majoriti besar sekalipun tetapi tidak adil dan hanya mahu mengekalkan kuasa, juga tiada ertinya. Ini kerana kekuatan kita bergantung pada keadilan terhadap rakyat, bukan kerana mendapat kuasa hingga bila-bila,” katanya lagi. – MalaysiaGazette