KOTA BHARU – Pergerakan Wira Putra Kelantan menyerahkan memorandum rakyat kepada Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub, untuk menyatakan rasa kesal dan kecewa dengan kegagalan kerajaan negeri, walaupun mentadbir selama lebih 30 tahun.

Memorandum tiga muka surat itu diserahkan kepimpinan Wira Putra pusat dan Wira Putra Kelantan kepada wakil Menteri Besar di Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Kota Darulnaim di sini, semalam.

Menurut Ketua Wira Putra Malaysia, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif, memorandum itu antaranya menzahirkan rasa sedih amat sangat dengan nasib rakyat yang hidup menderita berpanjangan, apatah lagi ketika pandemik Covid-19 melanda sejak Mac tahun lalu.

Kata beliau, sejak kerajaan Pas mengambil alih Kelantan tahun 1990 dan bertukar dua menteri besar, sehingga kini tiada apa pembangunan boleh dibanggakan rakyat.

Malah, katanya, kekecewaan rakyat bertambah dengan kehidupan makin terhimpit, miskin dan tidak ada pekerjaan untuk anak muda termasuk yang lulusan universiti.

“Ianya menyedihkan kerana kerajaan Pas Kelantan mendokong slogan “Membangun Bersama Islam”, tetapi apa yang berlaku seperti ayam berkokok hari tak siang dan ibarat bunyi guruh di langit hujan tak turun.

“Ianya sekadar retorik yang disusuli seperti menang sorak kampung tergadai,” katanya dalam kenyataan kepada media.

Memorandum itu ditandatangani beliau dan Naib Ketua Wira Putra Malaysia, Syed Mohd Shahriman Syed Badrishah; Ketua Wira Putra Kelantan, Wan Muhammad Ridhwan Wan Abdul Rahman; dan Naib Ketuanya, Muhammad Syahmi Halim; serta Setiausaha Wira Putra Malaysia, Muhammad Farydzul Fareez Mohd Bani.

Menurut Nasrul Ali Hasan, sejak tahun 1990 sehingga sekarang, tiada sebarang pertumbuhan ekonomi yang rancak dibawa masuk bagi mendorong rakyat meningkatkan pendapatan.

Sepanjang pemerintahan itu juga, kewujudan peluang pekerjaan amat tidak memberangsangkan dan lebih malang, tiada pelabur asing hendak datang melabur di negeri itu.

Apatah lagi tidak ada perusahaan ataupun kilang dibuka bagi membantu melancarkan ekonomi Kelantan, manakala pembangunan prasarana terutama di daerah amat mengecewakan.

“Isu air bersih sehingga sekarang tidak dapat diatasi, bukan sahaja rakyat tidak memperolehi air bersih, tetapi sentiasa terputus dan lebih teruk airnya berwarna kuning karat serta kotor.

“Ini turut diakui oleh pihak Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu (HRPZII) bahawa masalah bekalan air terawat turut membelenggu dan menjejaskan operasi hospital itu sejak lebih 10 tahun,” katanya.

Amat memeranjatkan, ujarnya, pelbagai cukai dinaikkan begitu tinggi seperti cukai pintu, cukai tanah, cukai pecah lot, cukai ubah syarat dan sebagainya, manakala rumah dan lot kedai yang dimajukan pihak swasta tiada penyewa.

Beliau turut dukacita dengan kejadian banjir yang berlaku setiap hujung tahun, yang mana air Sungai Kelantan menjadi kuning dan penuh dengan sampah sarap, yang dipercayai berpunca dari pembalakan di Hulu Kelantan

“Kerajaan negeri hanya tahu menafikan bahawa bencana banjir bukan disebabkan pembalakan. Hakikatnya, ia kerana pembalakan yang menyebabkan berlaku tanah runtuh apabila hujan lebat.

“Selain itu, kerja mengorek dan menyedut pasir dalam sungai secara tidak terkawal juga menyebabkan berlaku runtuhan tebing di Dataran Ayer Molek, Pasir Mas awal bulan ini.

“Sedangkan, cukai yang diperolehi kerajaan negeri tidak seberapa, tetapi kesannya menyebabkan tebing sungai Kelantan dalam keadaan bahaya dan boleh berlaku runtuhan yang tidak dijangka,” kata beliau.

Menurutnya, dalam memorandum itu juga pihaknya menyatakan, banjir di Rantau Panjang dan Sungai Golok berlaku setiap tahun, malah kerajaan Thailand telah lama membina benteng di sepanjang tebing Sungai Golok.

Bagaimanapun, di Rantau Panjang sehingga sekarang tidak dilaksanakan projek tebatan banjir walaupun diumum setiap kali bila tiba musim tengkujuh.

Malah, banyak projek dijanjikan setiap kali pilihan raya dari tahun 1990, 1995, 1999, 2004, 2008, 2013 dan 2018 melalui manifestonya, namun tiada satu pun projek dilaksanakan yang membawa impak kepada perkembangan ekonomi Kelantan yang boleh membantu peningkatan pendapatan rakyat.

“Pada masa sama, sejak 2019, walaupun rakyat hidup dalam keadaan tertekan, ekonomi Kelantan tidak berkembang, rakyat menderita dan penghijrahan rakyat ke pantai barat seperti Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Pulau Pinang sudah meningkat ratusan ribu.

“Namun, kerajaan negeri dengan secara tidak bertanggungjawab menempah 14 kereta Mercedes untuk kegunaan Menteri Besar, Timbalan Menteri Besar dan barisan Exco yang bernilai jutaan ringgit.

“Exco pula diberi bonus RM50,000 termasuk kenaikan gaji Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN),” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast