Bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak tiba pada Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto SYAFIQ AMBAK, 27 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menangguhkan pelaksanaan pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun dilihat tidak menghormati Parlimen.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 itu sepatutnya dihormati kerana ia telah mendapat sokongan 211 daripada 222 ahli Parlimen.

“Itu merupakan ketetapan Parlimen, pada prinsipnya mana-mana yang telah diluluskan oleh Parlimen lebih-lebih lagi atas sebulat suara patut dihormati dan dilaksanakan.

“Keputusan Parlimen dibuat berdasarkan kepada persetujuan semua parti, masa itu Pakatan Harapan (PH) berkuasa, Barisan Nasional (BN) pun bersetuju masa itu.

“Bila kita bersetuju atas sebulat suara, maknanya kuasa mutlak adalah Parlimen dan tak boleh kita menidakkan kuasa Parlimen,” katanya kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Pada Khamis lalu, SPR dalam kenyataannya memaklumkan pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun dijangka hanya mampu dilaksanakan selepas 1 September tahun depan.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, pihaknya harus bersikap realistik dengan perkembangan dan situasi semasa negara ketika ini yang secara umumnya masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19.

Situasi sedemikian, katanya menjejaskan perancangan dan persiapan SPR menjayakan pendaftaran pemilih automatik serta undi 18, yang sebelum ini sepatutnya dijangka dilaksanakan Julai depan.

Najib juga tidak menolak kemungkinan perkembangan terbaru itu hanya mengecewakan golongan muda kerana hak mereka dinafikan sebagai pengundi.

“Rata-rata orang muda mengharapkan dan menunggu peluang untuk mengundi dan sudah tentu mereka berasa amat kecewa kalau tidak diberi peluang,” katanya.

Ditanya tentang perkara itu akan memberi kelebihan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Najib tidak menafikannya.

“Itu nampak macam tindakan yang relevan bagi beliau (Muhyiddin),” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. SPR ambil masa 3 tahun nak daftarkan 5 juta pengundi dlm dunia internet skrg ni? haaaa SPR ni buat lawak bodoh kaa apa? Pakai app pun boleh daftar mcm My Sejahtera tu bebal…ko letak jawatan laaa..tak kompeten langsung!

Comments are closed.