Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akur dengan keputusan parti menetapkan tempoh untuk meninggalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN), termasuk melepaskan jawatan dalam Kabinet.

Kata Menteri Kanan Pertahanan itu, sebagai ahli parti beliau akan patuh dengan keputusan yang dibuat parti menerusi Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada hari ini.

“Sebagai ahli parti, sebagai pemimpin parti sudah tentu, tidak kiralah sama ada MT dan PAU adalah autoriti tertinggi dalam parti untuk menentukan keputusan, jadi sudah tentu kita mesti akur dengan keputusan parti,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian bagi mengulas ucapan penggulungan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti itu boleh menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada bila-bila masa sekiranya tidak ada indikasi untuk mengadakan pilihan raya dalam waktu terdekat.

Ahmad Zahid yakin jika keputusan untuk menarik sokongan itu dibuat, semua Menteri, Timbalan Menteri dan Pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sedia melepaskan jawatan masing-masing.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, beliau menyerahkan keputusan untuk menetapkan tempoh masa meninggalkan PN dibuat oleh Presiden dan Majlis Tertinggi UMNO.

“Kita serahkan kepada Presiden dan Majlis Tertinggi menetapkan timeline, kita tunggulah. Ada cadangan daripada perwakilan tarik diri sampai bulan lapan, tapi dalam penggulungan Presiden tadi dia setuju menetapkan untuk keputusan itu ditetapkan MT dan Presiden.

“Bulan lapan atau lebih awal lagi kita tidak tahulah, kita tunggu MT,” jelasnya. – MalaysiaGazette