KUALA LUMPUR – Persepsi buruk ke atas pemilik kenderaan yang diubahsuai adalah satu pandangan yang lapuk dan sudah ketinggalan zaman apatah lagi apabila mereka ini diletakkan setaraf pesalah-pesalah trafik dan juga jenayah.
Bahkan, budaya saling salah menyalahkan antara pemilik kenderaan, penjual aksesori dan penguatkuasa undang-undang juga haruslah dihentikan segera.
Sebaliknya undang-undang dan pelaksanaan peraturan haruslah berfokus kepada menjaga keselamatan pengguna jalan raya mahupun orang awam, kata Jawatankuasa Penaja, Kelab Apresiasi Seni Automotif Malaysia yang menyambut baik arahan terbaharu Kementerian Pengangkutan Malaysia untuk tidak mengenakan saman bagi kesalahan menggunakan ekzos bising motosikal.
Presidennya, Saifful Zaman Mohamad berkata, sudah tiba masa untuk pelbagai peraturan dan undang-undang yang melibatkan kenderaan dikaji semula dan dipertimbangkan untuk dimurnikan demi kebaikan bersama yang seimbang.
Saifful berkata, kebanyakan negara-negara maju di dunia kini menganggap aktiviti mengubahsuai kenderaan adalah sebahagian daripada aktiviti seni yang harus diberi tempat dalam masyarakat.
”Jika kita boleh menghargai seni-seni lain seperti lukisan, muzik dan kraftangan, kenapa kita tidak boleh menghargai golongan peminat seni automotif ini?” soalnya yang percaya masih banyak ruang dan peluang boleh diberikan kepada golongan ini untuk mengembangkan bakat dan seni dan pada masa yang sama mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan.
Ujar beliau, ramai sebenarnya tidak tahu bahawa bakat-bakat seni di dalam automotif ini telah banyak memberi sumbangan kepada perkembangan teknologi automotif di seluruh dunia.
Malah banyak rekaan kenderaan kenderaan yang moden di luar negara adalah mengambil inspirasi daripada kereta-kereta yang diubahsuai.
Dakwanya, negara ini akan ketinggalan seandainya persepsi negatif terhadap golongan ini tidak diubah. – MalaysiaGazette