KUALA LUMPUR – Malaysia merekodkan lebihan dagangan berjumlah RM17.9 bilion apabila kembali mencatatkan pertumbuhan positif dua digit bagi import dan eksport pada bulan Februari 2021.
Prestasi itu menjadikan lebihan dagangan bagi bulan ke-10 berturut-turut sejak Mei 2020.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, eksport Malaysia kekal pada paras yang tinggi, merekodkan peningkatan ketara 17.6 peratus kepada RM87.6 bilion berbanding kenaikan 6.6 peratus pada Januari 2021.
Ini adalah pertumbuhan tahun ke tahun tertinggi dalam tempoh 28 bulan, didorong oleh eksport domestik dan eksport semula.
Eksport domestik berjumlah RM71.4 bilion menyumbang 81.6 peratus kepada jumlah eksport meningkat 10.4 peratus.
Sementara itu, eksport semula bernilai RM16.1 bilion meningkat 65.0 peratus tahun ke tahun.
Menurutnya, import Malaysia pada Februari 2021 berjumlah RM69.7 bilion, mencatat pertumbuhan kukuh dua digit 12.7 peratus berbanding bulan yang sama 2020. Ini adalah pertumbuhan tahun ke tahun yang tertinggi sejak Julai 2018.
Jumlah dagangan yang bernilai RM157.3 bilion meningkat 15.4 peratus tahun ke tahun.
Peningkatan dalam eksport didorong oleh eksport yang lebih tinggi ke China (+RM3.4 bilion), Amerika Syarikat (+RM2.1 bilion), Singapura (+RM1.5 bilion), Hong Kong (+RM1.3 bilion) dan Kesatuan Eropah (+RM1.0 bilion).
Sementara itu, kenaikan import terutamanya dari China (+RM6.2 bilion), Indonesia (+RM1.1 bilion) dan Thailand (+RM819.3 juta).
Produk utama yang menyumbang kepada peningkatan eksport adalah barangan elektrik dan elektronik (+RM6.4 bilion); keluaran getah (+RM4.4 bilion); keluaran petroleum (+RM1.6 bilion); kimia dan bahan kima (+RM873.8 juta) dan barangan perkilangan logam (+RM799.1 juta).
Kenaikan import dicatatkan bagi barangan elektrik dan elektronik (+RM2.6 bilion); jentera, kelengkapan dan peralatan (+RM922.7 juta); kimia dan bahan kimia (+RM856.2 juta) dan keluaran getah (+RM846.3 juta).
Import mengikut penggunaan akhir mencatat peningkatan bagi barangan modal dan penggunaan dan import bagi barangan modal meningkat 39.0 peratus atau RM2.1 bilion kepada RM7.6 bilion dan merangkumi 10.9 peratus daripada jumlah import.
Pada masa yang sama, barangan penggunaan (8.5% daripada jumlah import) mencatatkan kenaikan 17.6 peratus daripada RM5.0 bilion pada Februari 2020 kepada RM5.9 bilion.
Sebaliknya, import bagi barangan perantaraan yang bernilai RM38.3 bilion atau 55.0 peratus daripada jumlah import, menurun sedikit 0.2 peratus tahun ke tahun. – MalaysiaGazette