KUALA LUMPUR – Setelah beberapa saban musim gagal mendapatkan peluang yang banyak untuk beraksi, karier Nurshamil Abd Ghani seperti mendapat nafas baharu dengan penyertaan bersama Kelantan FC, pada musim ini.
Biarpun masuk sebagai tiga kali pemain gantian dan beraksi dalam kesebelasan utama dalam satu perlawanan, Nurshamil merupakan pemain penyerang yang sudah berjaya meledak dua jaringan setakat ini bagi membantu Kelantan meraih tujuh mata selepas empat perlawanan.
Situasi itu memberikan banyak perkara positif buat Nurshamil selain turut meletakkan azam mahu membuktikan penyerang tempatan juga boleh bersaing dengan penyerang import.
“Ini satu permulaan yang cukup baik bersama Kelantan dan lega rasanya masih punyai rentak untuk menjaringkan gol dan harap keadaan ini mampu berterusan sebagai detik kebangkitan kepada karier saya.
“Dua musim sebelum ini saya sukar mendapatkan minit yang banyak untuk bermain dan di Kelantan, saya gembira kerana Marco (Ragini) memberikan peluang saya beraksi lebih kerap.
“Walaupun banyak masuk pemain gantian setakat ini, Marco ada berkata kepada saya, dia bersedia untuk menggunakan saya dalam kesebelasan utama jika tahap kecergasan sudah berada di tahap terbaik.
“Saya mahu tunjukkan penyerang tempatan juga boleh bersaing dengan penyerang import walaupun ada yang berkata mustahil untuk bersaing dengan mereka bagi merebut tempat,” katanya kepada Liga Bola Sepak Malaysia di sini.
Nurshamil pernah dinobatkan penjaring terbanyak Piala FAM pada 2015 ketika membantu Melaka naik ke Liga Premier dan beraksi cemerlang pada saingan Liga Premier pada musim berikutnya.
Dipinjamkan ke Selangor pada 2017, karier Nurshamil dilihat mulai sedikit terumbang-ambing apabila tewas kepada pemain import bagi meraih tempat dalam kesebelasan utama selain penyerang tempatan berpengalaman.
Musim lalu, dia bersama Pulau Pinang namun gagal beraksi dalam sebarang perlawanan berikutan pasukan sudah mempunyai Casagrande dan Bobby Gonzales yang boleh diturunkan di posisi penyerang.
Sementara itu, Nurshamil akui Marco banyak memahami cara permainannya serta lebih gemar menggunakan taktikal meletakkan dua penyerang dan situasi itu juga sedikit sebanyak membantu terhadap prestasinya bersama Kelantan, buat masa ini.
Tambahnya, sikap terbuka Marco menjadikan dia sentiasa mahu berikan yang terbaik di atas padang dan berasakan pilihannya untuk bersama Kelantan pada musim ini adalah tepat.
“Selepas kontrak saya ditamatkan dengan Pulau Pinang, pihak Kelantan terus menghubungi saya dan saya menjalani latihan percubaan selama dua hari dan Marco terus berminat untuk mengambil saya.
“Buat masa ini, saya selesa bekerja dengan Marco serta memahami cara bola sepak yang mahu diterapkan, malah dia selalu berbincang dengan saya mengenai soal taktikal.
“Biarpun masa ini menggunakan formasi 4-1-4-1 kerana pasukan mempunyai ramai pemain muda, namun apabila dia menggunakan taktikal dua penyerang, Marco akan memasukkan saya untuk bergandingan dengan Jack Hindle.
“Taktikal meletakkan dua penyerang nyata memberikan ruang saya untuk bermain dan saya harap apabila liga kembali bersambung nanti, saya akan berada di tahap prestasi yang lebih baik,” katanya. – MalaysiaGazette