Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah. Foto HAFIZ SOHAIMI, 29 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Polis akan merakam keterangan daripada pengurus hotel dan beberapa saksi bagi membantu siasatan berhubung penularan gambar majlis pernikahan Neelofa yang didakwa melanggar pematuhan SOP penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pengurus hotel berkenaan yang bertanggungjawab melangsungkan majlis itu sudah dipanggil untuk tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada hari ini.

“Kita sudah ambil keterangan awal semalam daripada pegawai keselamatan hotel untuk membantu siasatan insiden itu.

“Hari ini (Isnin) pula, kita akan ambil lagi keterangan daripada beberapa orang saksi, kita bukan tak boleh keluarkan kompaun serta-merta, tetapi majlis itu sudah berlalu sebelum gambar itu diviralkan dalam media sosial dan dikecam warga netizen sejak Sabtu lalu.

“Kita akan panggil semua yang terlibat untuk datang ke balai bagi memberi kerjasama supaya polis dapat melengkapkan kertas siasatan dan akan merujuk kepada pendakwa raya untuk arahan lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai perkembangan siasatan kes itu selepas Op Sarang Penagih dadah di sekitar Chow Kit bermula 3 pagi tadi.

Beliau kesal dengan segelintir masyarakat yang tidak memahami tindakan polis dan membuta tuli mengecam pihak berkuasa kononnya memilih bulu.

Katanya, masyarakat perlu faham ketika gambar majlis pernikahan secara tertutup itu ditularkan, majlis itu sudah selesai.

“Sekiranya kita menerima laporan semasa majlis masih berlangsung, polis boleh ke lokasi dan mengeluarkan terus kompaun berkenaan..ini banyak masyarakat tak faham,” ujar beliau.

Katanya, polis mesti menjalankan siasatan terlebih dahulu sebelum membuka kertas siasatan seperti yang tertakluk di bawah perkara 18 Seksyen 21 A Akta 342 yang ditetapkan.

“Oleh kerana gambar majlis sahaja diterima maka polis perlu siasat bagi menentukan ketulenan foto itu supaya ia tidak diedit sewenang-wenangnya.

“Sudah pasti penganjur kena bertanggungjawab ke atas penganjuran majlis itu, termasuk pengurusan hotel kerana itu hotel mereka dan mereka gagal memastikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan MKN,” jelas beliau lagi.

Mohamad Zainal berkata, tiada siapa yang terkecuali daripada dikenakan tindakan, walaupun daripada kalangan artis.

Menurut beliau, kertas siasatan apabila dilengkapkan nanti akan dirujuk kepada peguam negara.

“Jika peguam negara arah keluarkan kompaun kita akan buat…,” tegasnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Ini lah masa kerajaan kutip duit dari poket orang kaya yang merasa bebas dengan kayanya itu. 10,000 seorang jangan dikurang. Mereka bukan B40 yang perlu bantuan.

Comments are closed.