Antara penagih dadah yang ditahan dalam Ops Sarang Dadah sekitar Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 29 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – “Saya hisap ganja sejak berusia 11 tahun di sekolah rendah dan sampai sekarang sudah 38 tahun.”

Itu pengakuan seorang lelaki berusia 57 tahun yang tidak mahu dikenali dan bekerja sebagai peniaga buah-buahan di Pasar Raja Bot Chow Kit di sini malam tadi.

Lelaki berasal dari Pulau Pinang berniaga buah-buahan demi mata pencarian hidup musim Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKP).

“Oleh kerana sudah ketagih dan tidak dapat melupakan tabiat najis dadah itu, saya hampir setiap hari mendapatkan bekalan dadah dalam kuantiti tiga gram selain menghisap ganja.

“Ganja yang disimpan tadi baru tiga hari lepas diperoleh dari pembekal di pasar ini (Pasar Chow Kit) dengan harga RM70 sebungkus.

“Saya sudah 38 tahun hisap ganja dan pernah ditangkap dan keluar masuk penjara sebanyak 36 kali dan masuk pusat pemulihan sekali,” akuinya.

Lelaki berkenaan antara 50 penagih dadah yang ditahan dalam Ops Sarang menyasarkan penagih dadah di sekitar Chow Kit, Pasar Jalan Raja Bot, hotel dan rumah tumpangan di Lorong Haji Taib di sini awal pagi tadi.

Antara penagih dadah yang ditahan dalam Ops Sarang Dadah sekitar Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 29 MAC 2021.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah yang turut turun ke lokasi berkata, operasi selama lebih sejam itu bermula dari pukul 3.30 hingga 5 pagi ini.

Katanya, pasukannya yang terdiri daripada 50 orang pegawai dan anggota  dibantu lapan pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan tiga unit anjing pengesan K9.

“Kita menganggap operasi pagi ini berjaya selepas sekian lama tidak melaksanakannya disebabkan PKP dan kali ini kita menyasarkan hotel bajet, rumah tumpangan dan pasar di Jalan Raja Bot.

“Kesemua penagih berusia lingkungan antara 20-an hingga 50-an dan salah satu penagih dikenal pasti yang sudah berkecimpung 38 tahun sejak bangku sekolah rendah kerana pengaruh kawan tidak baik dan 36 kali keluar masuk penjara.

“Ada juga seorang wanita berusia 52 tahun yang mengaku  positif HIV tetapi tidak mempunyai sijil perubatan yang menyokong dakwaan itu.

Antara penagih dadah yang ditahan dalam Ops Sarang Dadah sekitar Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 29 MAC 2021.

“Dia didapati menagih dan juga pekerja seks lebih lima tahun tetapi mengakui pelanggannya sangat sedikit sekadar tiga orang sahaja berbanding sebelum PKP,” katanya dalam sidang media Ops Sarang awal pagi ini.

Antara penagih dadah yang ditahan dalam Ops Sarang Dadah sekitar Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 29 MAC 2021.

Ujar Mohamad Zainal, kesemua mereka akan dibawa ke Balai Chow Kit untuk ujian saringan calitan Covid-19 dan akan dibawa ke IPD Dang Wangi untuk tindakan lanjut.

Dalam operasi sama serbuan di beberapa rumah tumpangan dan hotel bajet di Chow Kit, penagih dan pekerja seks di kawasan Lorong Haji Taib dan Pasar Chow Kit sanggup terjun dari tingkap sejurus kedengaran tindakan polis mengumpil pintu besi tingkat bawah.

“Biasanya apabila sarang-sarang penagihan dadah digempur mereka akan melarikan diri dan bersembunyi di hotel bajet di sini.

“Yang bertempiaran lari itu biasa berlaku kerana mereka akan cuba mengelak daripada dicekup pihak berkuasa polis.

“Objektif kami adalah mahu membersihkan kawasan berkenaan yang merupakan salah satu tempat longgokan penagih dadah yang juga bekerja di pasar awam sibuk ini yang turut menjadi sarang mendapat bekalan dadah dengan begitu mudah tanpa masalah.

“Kita sebenarnya sudah mengenal pasti pembekal-pembekal dadah kepada mereka di kawasan ini dan ada yang telah ditangkap dan ada yang masih dalam radar polis akan diambil tindakan apabila tibanya masa nanti,” tegas beliau.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast