wong tack
Wong Tack

BENTONG – Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack berkata, kekalahannya dalam pemilihan DAP Pahang merupakan satu tanda amaran.

Beliau bagaimanapun berpendapat apa yang lebih penting daripada jawatan parti adalah dapat berkhidmat kepada parti dan juga rakyat.

“Saya merupakan timbalan pengerusi sebelum ini dan kekalahan dalam pemilihan kali ini merupakan satu tanda amaran.

“Saya akan lebih berusaha untuk melaksanakan tanggungjawab dalam parti dan berkhidmat untuk rakyat,” katanya seperti dipetik Sinchew Daily.

Walaupun kalah dalam pemilihan, Wong Tack yang mencuri tumpuan sebagai aktivis membantah Lynas telah dilantik ke dalam barisan kepimpinan DAP Pahang.

Dalam pemilihan yang diadakan, pemimpin veteran, Leong Ngah Ngah diberi mandat untuk terus menerajui DAP Pahang.

Ditanya mengenai kemunculan “senarai” dalam pemilihan yang berpihak kepada calon tertentu, Wong Tack enggan memberi ulasan atau mengambil peduli tentang hal itu.

Dalam satu lagi perkembangan mengenai DAP, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar di Perak, Leong Cheok Keng enggan mengulas spekulasi bahawa dirinya akan menyertai MCA.

Ura-ura mengenai Cheok Keng menyertai MCA bertiup sekali lagi apabila beliau dilapor menyertai satu aktiviti pendidikan yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pendidikan dan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Mah Hang Soon.

Dalam majlis itu, masing-masing Cheok Keng yang dipecat DAPĀ  dan Hang Soon enggan mengulas tentang isu politik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast