KUALA LUMPUR – Kerja-kerja pengalihan dan penyambungan paip baharu berdekatan Kilang Carlsberg di Persiaran Selangor Seksyen 15, Shah Alam, sedang giat dijalankan.
Sehingga jam 5 petang tadi, status kemajuan kerja-kerja pengalihan dan penyambungan paip baharu adalah pada tahap 73% seperti yang dijadualkan.
Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor, Elina Baseri berkata, kerja-kerja pengalihan dan penyambungan paip ini dijangka siap sepenuhnya pada jam 9 malam hari ini.
Bekalan air akan mula disalurkan selepas kerja-kerja siap dilaksanakan dan proses pemulihan bekalan air adalah secara berperingkat-peringkat.
Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada kuantiti bekalan air, jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan. – MalaysiaGazette