KUALA LUMPUR – Kanak-kanak yang pernah didera berisiko mengalami trauma emosi yang teruk, kata Pakar Pendidikan Awal Kanak Kanak, Dr Putri Afzan Maria Zulkifli.
Beliau berkata, situasi itu akan mengakibatkan kanak-kanak mengalami gangguan pada tahap pekembangan mereka, sekali gus menjejaskan kesihatan fizikal, mental dan emosi.
“Sebanyak 90 peratus otak kanak-kanak terbentuk pada usia enam tahun pertama, oleh itu apabila sesuatu perkara berlaku pada usia itu, ia akan kekal dalam memori selamanya. Perkara ini boleh mengganggu proses pembentukan ‘blue print’ yang baik untuk jangka masa panjang.
“Apabila trauma ini terjadi, ia akan memberi impak tidak baik pada emosi dan perasaan kanak-kanak tersebut, seterusnya mengganggu proses pembelajaran pada usia seterusnya.
“Contohnya seperti insiden dia dicampak. Memori ini akan meninggalkan kesan sukar menanam kepercayaan kepada sesiapa sahaja yang cuba mendekati anak ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Baru-baru ini, tular video berdurasi 10 saat di sebuah tadika di Klang yang menunjukkan perbuatan seorang guru yang mencampak pelajarnya di hadapan pelajar lain ketika sesi pembelajaran.
Insiden ini telah mencetuskan kemarahan dalam kalangan ibu bapa dan warga maya.
Putri Afzan menambah, guru atau pengasuh harus bersikap profesional dalam menguruskan kerenah kanak-kanak yang sedang membesar.
Mereka sepatutnya membantu memberi sokongan yang baik kepada mereka danĀ bukan sebaliknya.
Bagi mengatasi insiden ini daripada terus berulang, Putri Afzan Maria mencadangkan satu ujian saringan standard yang dibangunkan oleh Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) dilaksanakan kepada semua pengasuh dan kumpulan pendidik awal kanak-kanak sebelum mereka diambil bekerja.
Ujian itu merupakan saringan awal calon pendidik bagi mengenal pasti dan mengukur aspek personaliti, kesihatan, kompetensi emosi serta cara pengurusan konflik.
“Sebenarnya latihan psikologi pada guru tidak cukup kerana kita tidak mengetahui latar belakang seorang guru ketika dia kecil. Ada kemungkinan mereka melalui trauma yang teruk atau pengalaman awal kanak-kanak yang tidak seimbang.
”Ini pasti memberi kesan kepada mereka. Tambahan lagi, sahsiah guru adalah langkah perlu diperhatikan terutama membabitkan mental dan emosi.
”Jika mereka pernah alami trauma yang tidak baik, ia boleh mencetuskan tindakan di luar jangka yang mengakibatkan pelajar menjadi tempias emosi mereka,” jelas beliau.
Oleh itu, katanya, ujian tersebut penting bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak ketika berada di pusat jagaan sentiasa berada pada tahap maksimum. – MalaysiaGazette