Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Wilayah Persekutuan, Che Mohd Rokman Che Awang beramah mesra dengan pekerja yang dipindahkan ke tempat baru pada Majlis Tandatangan Projek Pilot Sistem Pemantauan dan Penginapan Hotel di New Wave, Batu Caves. Foto HAFIZ SOHAIMI, 01 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Seramai 65 pekerja tempatan dan warga asing terlibat dalam pelaksanaan inisiatif penempatan sementara pekerja di hotel fasa pertama di sekitar ibu kota.

Ia dilakukan mengikut Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Akta 446). 

Pemindahan itu mengikut arahan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) selepas operasi yang diadakan baru-baru terhadap segelintir majikan yang gagal menyediakan tempat tinggal kondusif terutamanya musim penularan pandemik Covid-19.

Inisiatif itu turut mendapat kerjasama dari agensi kerajaan seperti Pusat Pertukaran Pekerja Bintang Bhd (CLAB), I-Entry yang berperanan untuk membantu penempatan bagi pekerja-pekerja diarah berpindah JTK ke hotel-hotel berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Menurut Pengarah JTK KL, Che Mohd Rokman Che Awang, pihaknya serius dalam berdepan dengan peningkatan kes Covid-19 yang rata-ratanya kluster banyak dikesan di  tempat kerja terutamanya lokasi pembinaan.

Justeru itu, JTK sentiasa komited dengan mengadakan operasi bersepadu di lokasi pembinaan di sekitar ibu kota bagi memantau pematuhan terhadap Akta 446 seperti ditetapkan kerajaan.

Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Wilayah Persekutuan, Che Mohd Rokman Che Awang bercakap pada sidang media Majlis Tandatangan Projek Pilot Sistem Pemantauan dan Penginapan Hotel di New Wave , Batu Cave.Foto HAFIZ SOHAIMI, 01 APRIL 2021.

“Pemeriksaan penguatkuasaan Akta 446 dijalankan oleh kami dengan fokus terhadap penginapan yang disediakan oleh pihak majikan untuk para pekerja mereka baik warga tempatan dan warga asing,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis menandatangani persefahaman antara CIDB, I-Entry, MOTAC, Hotel New Wave dan juga majikan terlibat dalam proses pemindahan sementara yang tempohnya mengambil masa antara sebulan hingga enam bulan.

Antara yang hadir termasuklah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Clab, Abdul Rafik Abdul Rajis dan CEO I-Entry, M. Kamalan.

Menurut Mohd Rokman, sebanyak 50 pemeriksaan dijalankan sehari di samping operasi bersepadu dengan agensi penguatkuasaan lain seperti Perkeso, CIDB, JKKP, KKM, KPDNHEP dan DBKL.

“Majoriti majikan yang menyediakan penginapan kepada pekerja masih gagal mematuhi Akta 446, macam yang anda lihat hari ini seramai 65 pekerja tempatan dan warga asing dipindahkan sementara ke hotel bawah MOTAC sementara penginapan sedia ada oleh majikan masing-masing di baik pulih,” ujarnya.

Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Wilayah Persekutuan, Che Mohd Rokman Che Awang (belakang, tiga kiri) menyaksikan Perjanjian MOU antara Clab, I Entry Malaysia, Bukit Kiara Resort, Laksamana Noodles dengan Hotel New Wave bagi perpindahan pekerja untuk penginapan sementara di Hotel New Wave, Batu Caves.Foto HAFIZ SOHAIMI, 01 APRIL 2021.

Kata Mohd Rokman lagi, insiatif itu juga sebenarnya bukan sahaja akan memberikan tempat tinggal lebih baik serta mengekang penularan Covid-19 sebaliknya dengan menempatkan pekerja di hotel bajet satu hingga tiga bintang juga dapat merancakkan ekonomi negara.

Jelas beliau, sektor perhotelan dan juga pengangkutan yang juga terjejas teruk akibat pandemi dan dapat memaanfatkan peluang ini dengan baik.

“Kos yang perlu ditanggung oleh majikan adalah sebanyak RM270 sebulan bagi setiap pekerja yang turut merangkumi caj hotel, utiliti dan pengangkutan.

“Saya perlu ucapkan syabas dan penghargaan dengan Clab, I Entry dan MOTAC dengan inisiatif ini yang sememangnya dapat menyelesaikan pelbagai isu,” ujarnya.

Clab merupakan anak syarikat kepada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) manakala I Entry pula rakan strategik kepada Clab dalam program perpindahan pekerja.

Untuk makluman, pekerja asing di Kuala Lumpur sahaja berjumlah lebih 205,000 dengan majoriti di sekitar pembinaan manakala sekitar hampir 100,000 orang manakala sektor lain termasuklah sektor perkhidmatan, pembuatan dan pengilangan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast