KOTA SAMARAHAN – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan bersedia untuk berbelanja besar demi menyelamatkan nyawa rakyat dan ekonomi negara akibat penularan pandemik COVID-19 sekarang.
Beliau berkata penularan wabak itu amat mencabar bagi kerajaan kerana membabitkan nyawa dan juga menjejaskan ekonomi negara, sehingga memaksa kerajaan berbelanja besar untuk membeli ubat-ubatan, memastikan katil hospital mencukupi serta menambah bilangan doktor dan jururawat.
“Ini kita lakukan kerana kita perlu menyelamatkan setiap nyawa rakyat dan kerajaan telah membelanjakan antara RM7 bilion hingga RM8 bilion untuk selesaikan masalah COVID-19, dan jumlah itu belum lagi termasuk wang untuk pembelian vaksin,” katanya ketika berucap pada Program Perjumpaan Masyarakat Samarahan di Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak, di sini hari ini.
Beliau turut menyatakan rasa puas hati dengan proses program vaksinasi di Sarawak dan berjanji akan meminta Kementerian Kesihatan menghantar lebih banyak vaksin COVID-19 ke negeri itu.
Pada masa sama, Muhyiddin berkata meskipun berdepan situasi paling sukar dalam sejarah negara berikutan penularan pandemik itu, rakyat kekal bersatu.
“Keputusan terpaksa diambil dengan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) supaya rakyat selamat daripada musibah pandemik di seluruh negara. Walaupun kesannya besar tetapi tujuannya (penguatkuasaan PKP ialah) supaya rakyat selamat,” katanya.
Menurut Muhyiddin, kerajaan terpaksa mengambil langkah mengimbangi nyawa rakyat dan kesan ekonomi, kerana hampir semua sektor ekonomi terpaksa ditutup sehingga menyebabkan negara kerugian RM2.4 bilion.
Katanya kerajaan telah mengumumkan pelbagai pakej bantuan bernilai RM300 bilion bagi membantu golongan yang terkesan dan keadaan kini beransur pulih dengan hampir 100 peratus sektor ekonomi sudah dibuka semula kecuali beberapa sektor seperti pelancongan.
“Kita kini bersedia untuk kembali beroperasi seperti asal dan kita boleh nampak cahaya di hujung terowong,” kata Muhyiddin sambil menambah bahawa pentadbiran negara juga perlu kukuh dan tidak diganggu agar kerajaan boleh memberikan sepenuh tumpuan terhadap usaha membantu rakyat.
Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat Sarawak agar meneruskan sokongan mereka kepada kerajaan persekutuan sedia ada bagi membolehkannya terus membantu negeri tersebut untuk mencapai wawasannya menjadi sebuah negeri maju pada 2030.
Menyentuh lawatan terbaharunya ke negeri ini yang merupakan lawatan lengkap pertama beliau sejak menjadi perdana menteri pada Mac tahun lepas, Muhyiddin berkata ada perasaan luar biasa dalam lawatan kerjanya kali ini kerana ia seperti “balik ke kampung halaman sendiri”.
“Lawatan ini amat istimewa. Hati saya tersentuh bila Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) berkata GPS (Gabungan Parti Sarawak) akan terus memberi sokongan padu kepada saya sebagai Perdana Menteri,” katanya.
Majlis perjumpaan itu merupakan antara program yang disusun dalam jadual padat lawatannya ke Sarawak yang bermula Khamis dan beliau dijangka meninjau projek naik taraf Hospital Umum Sarawak petang ini sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur.
— BERNAMA