Timbalan Presiden MIC, M Saravanan berucap pada Perhimpunan Agung Pemuda, Wanita, Putera dan Puteri di Wyndham Hotel Acmar, Klang. Foto HAFIZ SOHAIMI, 02 APRIL 2021

KLANG – MIC belum membuat pendirian sama ada  bakal mengikuti langkah UMNO untuk tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada pilihan raya akan datang atau sebaliknya.

Timbalan Presiden parti itu Datuk Seri M Saravanan berkata, MIC perlu mengkaji terlebih dahulu sebarang keputusan.

Ini kerana, MIC perlu mengambil kira kepentingan rakyat, bukan sekadar kehendak ahli-ahli di peringkat akar umbi.

Jelasnya, kegagalan untuk mendengar aspirasi rakyat secara keseluruhan akan memberi risiko kepada kekalahan Barisan Nasional (BN), seperti yang berlaku pada pilihan raya yang lalu.

“Saya ikut pendirian presiden, kita serah kepada perwakilan buat keputusan. Walau bagaimanapun kita kena bezakan di antara dua darjat iaitu aspirasi ahli parti di peringkat akar umbi dan dan rakyat.

“Sebelum ini  pada PRU 2018, kita ikut aspirasi akar umbi iaitu ahli parti tetapi aspirasi rakyat berbeza sebab itu kita kalah.

“Kalau kita ikut aspirasi ahli parti sahaja kita tidak menang,” katanya selepas merasmikan Perhimpunan Agung Pemuda, Wanita, Putera dan Puteri MIC di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, MIC bakal bertanding sebagai pembangkang buat pertama kali jika membuat  keputusan yang sama dengan UMNO.

Situasi itu juga akan membuka ruang untuk MIC meninggalkan parti itu.

Justeru, MIC tidak boleh membuat keputusan secara terburu-buru.

Sementara itu, Saravanan memaklumkan beliau dan Presiden MIC, Tan Sri Presiden MIC, Tan Sri Vigneswaran masih belum mengadakan pertemuan dengan pimpinan UMNO selepas Perhimpunan Agung UMNO (PAU2020) baru-baru ini. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast