KUALA LUMPUR – Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan mencemar duli menerima undangan istimewa untuk menyampaikan berita secara langsung dalam slot Berita Perdana jam 8 malam di Studio Wisma Berita, Angkasapuri sempena ulang tahun ke-75 Radio Televisyen Malaysia (RTM), semalam.
Ini adalah kemunculan julung-julung kali baginda di saluran RTM sebagai penyampai berita, setelah kali terakhir ke udara lima tahun lalu pada 31 Ogos 2016, kata Selangor Royal Office yang dimuat turun di Facebook.
Untuk rekod, DYMM Tengku Permaisuri Norashikin pernah bertugas sebagai Penyampai Berita TV di RTM selama 20 tahun bermula pada tahun 1996.
Baginda pernah diiktiraf sebagai Penyampai Berita TV Terbaik sebanyak dua kali di Anugerah Seri Angkasa iaitu pada tahun 2001 dan 2005.
Menerusi kenyataan itu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menzahirkan ucapan syabas dan tahniah di atas sambutan ulang tahun RTM.
Baginda berharap agar RTM terus menjadi wadah penyebar maklumat dan informasi yang tepat dan telus kepada rakyat jelata, serta terus relevan sebagai sumber media utama yang sahih dan berkaliber. – MalaysiaGazette