SHAH ALAM – Kerajaan khususnya Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) disaran mewujudkan satu skim bantuan khas buat petugas media dan bekas pekerja yang terjejas teruk ketika pandemik Covid-19.
Menurut bekas Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Seri Azman Ujang, bantuan bersesuaian ketika musim wabak seperti ini adalah dalam bentuk kewangan yang boleh meringankan beban mereka terutamanya yang hilang sumber pendapatan dalam menyara keluarga.
“Setakat ini saya rasa belum ada lagi (bantuan khas) kerana ramai yang hilang kerja dan skim pemisahan sukarela (VSS) khususnya media cetak yang sangat terkesan.
“Pada masa sama mungkin petugas media di negara ini boleh diberi keutamaan untuk menerima vaksinasi Covid-19 lebih awal sama seperti petugas barisan hadapan yang lain.
“Ini kerana para wartawan di Indonesia beritahu bahawa mereka diutamakan dalam menerima vaksin tapi di negara ini setakat ini belum lagi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Prihatin Media di Ibu Pejabat MyCar, Setia Alam hari ini.
Sumbangan berbentuk keperluan barangan asas itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MyCar, Mohd. Noah Maideen kepada 20 penerima yang terdiri daripada bekas petugas dan petugas media sambilan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Turut hadir, Pengerusi MyCar, Datuk Noor Sheena Maideen dan Presiden Pertubuhan Generasi Digital Media (PGDM), Mohamad Azfar Afandi Zulkefly.
Jelas Mohd. Noah, MyCar turut memperuntukkan 30 kotak lagi barangan keperluan asas yang akan diagihkan oleh PGDM secara ‘mobile’ kepada petugas media sambilan.
“Ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dijalankan bagi menyantuni mereka yang kehilangan pekerjaan atau masih belum mendapat pekerjaan tetap lebih-lebih lagi menjelang bulan Ramadan tidak lama lagi,” ujarnya. – MalaysiaGazette