Menteri Besar Johor, Datu Ir Hasni Mohamad pada Majlis Pelancaran Dialog di Pengerang, Johor hari ini.

PENGERANG – Pembangunan Fasa 3 Terminal Laut Dalam Pengerang (PDT) akan menarik lebih banyak syarikat penapisan selain kilang pembuatan petrokimia pada masa depan.

Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, pembangunan itu berpotensi membawa pelaburan bernilai berbilion ringgit ke negeri itu.

Selain itu, beliau berkata, ia juga mewujudkan peluang tenaga kerja mahir di kawasan berkenaanan.

“Daripada segi sejarah, PDT Fasa 1 adalah pemangkin untuk projek Pembangunan Bersepadu Petronas dan Petrokimia (RAPID) membawa pelaburan bernilai lebih dari RM100 bilion.

“Ini secara langsung membawa kepada pembentukan Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) telah memberikan perkhidmatan yang baik kepada penduduk tempatan melalui pelbagai pembangunan,” katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Dialog di Pengerang hari ini.

Hasni berkata, setakat ini, kira-kira 50 peratus tanah di PDT telah dibangunkan dengan tanah seluas 202 hektar lagi untuk pembangunan pada masa depan.

“PDT masih dalam fasa awal untuk melengkapkan sepenuhnya potensi dan pelaburan berterusan akan membawa keuntungan ekonomi yang besar kepada Johor.

“Ini juga akan mengubah Pengerang menjadi kawasan lestari pada tahun-tahun mendatang,” katanya.

Beliau turut berharap Pengerang akan menjadi hab minyak, gas, dan petrokimia terbesar di Asia Pasifik.

“Johor tetap komited dalam mendukung pengembangan PDT,” katanya.- MalaysiaGazette