Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berucap pada sesi libat urus bersama ketua editor media di Kementerian Kerja Raya, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 06 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Beberapa langkah bagi memastikan aktiviti sindiket kartel yang memonopoli ratusan tender kerajaan tidak berulang sedang dilaksanakan kerajaan pada masa ini.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, antara yang dilakukan termasuk mengenakan bon bernilai RM500,000 bagi bidaan tender kementerian dan agensi-agensi kerajaan.

“Saya tak dapat jamin kartel tender ini dapat dihapuskan 100 peratus namun kementerian mengambil langkah mengecilkan ruang dan peluang untuk aktiviti ini berlaku.

“Antaranya kita mengenakan bon RM500,000 dalam proses tender projek atau penyelenggaraan, sekali gus menyukarkan kartel kerana mereka perlu mengumpul duit yang banyak jika mahu membida menggunakan syarikat berbeza yang dikawal,” katanya ketika ditemui selepas Sesi Libat Urus Menteri Kanan Kerja Raya Bersama Ketua Editor Media di sini hari ini.

Menurut Fadillah, menerusi kaedah itu, saiz kartel mungkin dapat dikecilkan sekali gus tidak mempengaruhi keseluruhan harga bidaan.

Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tujuh individu dipercayai anggota sindiket kartel yang memonopoli ratusan tender kementerian dan agensi kerajaan sejak tujuh tahun lalu, dengan nilai projek dianggar mencecah RM3.8 bilion.

Menerusi siasatan itu SPRM kemudian bertindak menyita dua helikopter dan membeku 644 akaun bank individu serta syarikat dengan simpanan berjumlah kira-kira RM100 juta, selain wang tunai berjumlah RM3.5 juta turut disita daripada kediaman ketua sindiket bergelar Datuk berusia 47 tahun. – MalaysiaGazette