Saturday, December 21, 2024
Home Utama Godam sistem Jabatan Imigresen: Ketua sindiket bergelar Datuk antara lima individu ditahan

Godam sistem Jabatan Imigresen: Ketua sindiket bergelar Datuk antara lima individu ditahan

Difahamkan, PLKS palsu itu dipercayai dijual kepada warga asing yang bekerja secara haram di negara ini dengan bayaran antara RM6,000 dan RM8,000 bagi setiap satu. - foto SPRM
KUALA LUMPUR – Dalang utama bergelar Datuk adalah antara lima individu yang ditahan dipercayai terlibat dalam pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu, membabitkan kerugian jutaan ringgit kepada hasil kerajaan dalam bentuk levi pekerja asing.
Difahamkan, PLKS palsu itu dipercayai dijual kepada warga asing yang bekerja secara haram di negara ini dengan bayaran antara RM6,000 dan RM8,000 bagi setiap satu.
Lebih menggerunkan sindiket ini juga berupaya membuka dan menutup semula status senarai hitam atau ‘red alert’ seseorang individu untuk membolehkan mereka melepasi sekatan imigresen di lapangan terbang dengan bayaran tertentu.
Menurutnya, mereka ditahan hasil risikan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Imigresen sejak setahun yang lalu.
Sumber memberitahu, sindiket itu dipercayai bergerak dengan kerjasama ‘orang dalam’ untuk menggodam pangkalan data Jabatan Imigresen dengan memasang transmiter.
Ujarnya, dengan itu, ia memberi akses kepada anggota sindiket terbabit untuk menukar kata laluan pegawai imigresen dan seterusnya mencetak PLKS dari pusat operasi mereka di luar pejabat jabatan penguatkuasaan itu.
“Ini merupakan suatu pencerobohan ke dalam pangkalan data agensi kerajaan dan merupakan isu kebocoran keselamatan yang sangat serius.
“Keupayaan ahli-ahli sindiket menggodam sistem komputer Jabatan Imigresen membolehkan mereka mencetak PLKS dan menjualnya kepada warga asing yang bekerja secara haram di negara ini,” katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.
Isu ini pernah dibangkitkan dalam Laporan Audit dan dibincangkan di Parlimen mengenai ketirisan hasil kerajaan dan kebocoran sistem keselamatan negara.
Menjelaskannya, modus operandi sindiket ialah menggodam sistem imigresen dengan memasang transmiter di bilik komputer Jabatan Inigresen hasil kerjasama orang dalam.
“Sindiket ini berupaya menggodam, menukar dan menggunakan kata laluan pegawai-pegawai imigresen untuk memasukkan nama-nama serta butiran peribadi pekerja asing seolah-olah mereka mendapatkan PLKS secara sah. Walhal ianya hasil tindakan penggodaman sistem Jabatan Imigresen,” tambahnya lagi.
Kesemua operasi dilakukan di luar pejabat Jabatan Imigresen menggunakan transmiter dan sistem yang diklonkan dari pangkalan data imigresen.
Dalam serbuan itu, sumber memaklumkan, pasukan penguat kuasa turut merampas peralatan komputer termasuk dua sistem komputer klon dan transmiter yang digunakan sindiket ini.
“Sindiket ini dipercayai beroperasi di salah sebuah hotel terkemuka di Jalan Sultan Ismail.
Mereka sentiasa bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain termasuk hotel-hotel mewah bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi di sini pada Selasa mengesahkan tangkapan tersebut.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 17 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Beliau menegaskan bahawa siasatan ke atas kes ini akan dibuat secara menyeluruh dan memastikan kesemua ahli sindiket termasuk ‘orang dalam’ dikenakan tindakan yang sewajarnya.
“SPRM memuji ketegasan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen kerana sanggup mendedahkan kepincangan yang berlaku dan memberikan kerjasama penuh risikan dalam kes ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast